ARKITEK tengah Terengganu FC, Manuel Gelito Ott mengakui pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Shane Lowry merupakan antara pemain pertahanan yang sangat sukar ditembusi penyerang lawan.
“Terlalu banyak pemain yang baik dalam liga Malaysia. Saya bukan seorang penyerang, jadi saya masih akan berhadapan dengan pemain tengah sebelum menuju pemain pertahanan.
“Tetapi jika anda inginkan satu nama, saya merasakan Shane Lowry dari Johor Darul Tazim memiliki aset tersebut merangkumi posisi yang bagus dan fizikal yang tegap,” ujarnya ketika dihubungi Flash Sukan.
Dalam pada itu, dia sempat berkongsi kelebihan bermain di Liga Malaysia berbanding situasi terkini jika sedang bermain di Liga di Filipina.
Jelasnya, Liga di Filipina masih jauh ketinggalan di belakang berbanding liga negara kita yang semakin kompetitif dan terkenal.
Ditambah pula dengan sorakan pemain ke-12 sepanjang perlawanan, ia sudah tentu meningkatkan semangat pemain agar terus memerah keringat demi lencana di dada.
“Saya sangat menikmati detik bermain di Liga Malaysia. Ia sangat terkenal dan kompetitif manakala di Filipina pula kita baru sahaja mencuba membina liga yang bersifat kekal.
“Di sini anda ada penyokong yang memiliki aura tersendiri serta kemudahan stadium dan pemain yang berkualiti.
“Pada masa ini, liga kita memang jauh ketinggalan tetapi diharapkan kita dapat membina liga serupa di Malaysia pada masa hadapan, ” jelasnya.
Mengulas mengenai momentum Terengganu FC dalam aksi Piala Malaysia yang bakal bermula tidak lama lagi, pemain berdarah kacukan Jerman-Filipina itu menyifatkan pasukannya kini berada dalam momentum terbaik bagi menghadapi saingan Piala Malaysia kali ini setelah Sang Penyu berjaya mendapat tempat kedua di saingan liga sekaligus berjaya menempah slot ke Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim hadapan.
“Kita berada pada momentum terbaik. Kita agak kurang bernasib baik pada awal musim, apabila perlawanan terpaksa dibatalkan disebabkan Covid-19.
“Selepas itu, kami berehat panjang ekoran Pandemik Covid-19, dan Sukan SEA terpaksa dibatalkan ekoran pandemik yang berleluasa ketika itu.
“Ia sedikit menjejaskan rentak permainan kami, namun kini kami berada pada landasan yang tepat dan fokus menuju ke arah objektif tersebut,” kongsinya.
Meskipun spekulasi penghijrahan jurulatih, Nafuzi Mohd Zain menyertai Kedah Darul Aman FC hangat diperkatakan, namun pemain tengah berusia 30 tahun itu tidak mahu memikirkan perkara itu sebaliknya hanya fokus kepada matlamat kelab dan apa yang dimahukan penyokong.
“Saya tidak begitu pasti dan mengambil peduli tentang perkara itu, apa yang lebih penting adalah usaha kami untuk mencapai matlamat kelab, pasukan dan penyokong.
“Sudah tentu Nafuzi telah memperkenalkan corak permainan buat pasukan ini dan berjaya memperoleh keputusan positif sepanjang penglibatannya sebagai seorang jurulatih.
“Selepas ini harapan semestinya lebih tinggi terletak di bahunya apabila kita telah mara ke peringkat akhir Piala FA 2022, dan berada di posisi kedua dan layak ke Piala AFC,” katanya.