TIDAK lama selepas menamatkan kontrak bersama Kedah Darul Aman (KDA), bekas kapten Manuel Ott, kembali menyarung jersi Terengganu FC (TFC) untuk musim baharu Liga Malaysia (Liga M).
Khidmat pemain tengah berusia 32 tahun itu ternyata masih ditagih skuad Penyu yang tidak menunggu lama untuk menyambar tonggak kebangsaan Filipina berkenaan untuk mengisi kuota Asean.
Pengesahan kehadiran pemain berusia 32 tahun itu dibuat menerusi pengumuman di media sosial rasmi TFC hari ini sekaligus mengesahkan desas-desus kepulangan Ott ke Pantai Timur.
Jurulatih TFC, Tomislav Steinbruckner, berkata, beliau optimis pemain berkenaan tidak akan memerlukan masa yang lama untuk menyesuaikan diri dengan rentak permainan Sang Penyu.
Menurut Steinbruckner, Ott merupakan pilihan terbaik untuk mengisi kuota awang import Asean yang sebelum ini milik penyerang Thailand, Adisak Kraisorn dan Omid Nazari (Filipina).
“Penghijrahan Ott adalah keputusan terbaik bagi kedua-dua pihak, saya kenal beliau sejak 2022 ketika menjadi Pengarah Teknikal TFC di bawah kendalian ketua jurulatih terdahulu.
“Dia (Ott) pemain yang berkualiti dan pengalamannya dalam Liga M sejak beberapa tahun lalu diyakini mampu memberi kekuatan di bahagian tengah bersama pemain lain.
“Saya gembira dengan kemasukannya dan berharap akan memberi impak bersama Nurillo Tukhtasinov dan seorang lagi muka baharu, Akram Mahinan,” katanya kepada Flash Sukan.
Ott memulakan kariernya bersama kelab ramaja Bundesliga Jerman, TSV 1860 sebelum berkelana ke Asia Tenggara bersama kelab Filipina, Ceres La Salle dan United City serta Ratchaburi FC.
Pemain itu kemudian beraksi untuk Melaka pada 2021 dan menyerlah bersama TFC pada 2022 di bawah kendalian jurulatih ketika itu, Nafuzi Zain sebelum kedua-duanya berhijrah ke KDA, tahun lalu.
Namun masalah tunggakan gaji yang melanda dikatakan menjadi antara punca penghijrahan besar-besaran tonggak import KDA dengan Ott turut menamatkan kontrak secara persetujuan bersama.