JURULATIH Interim Penang FC, Manzoor Azwira Abdul Wahid gembira dengan aksi positif yang ditunjukkan barisan pemainnya ketika ini tetapi masih banyak yang perlu diperbaiki selepas ini.
Aksi yang baik itu diharap dapat diteruskan malam ini menjelang saingan Liga Super bertemu Sabah FC di laman sendiri.
Menurut Manzoor Azwira secara eksklusif kepada Flash Sukan, dia mengakui satu perlawanan yang bukan mudah dan berharap semangat ‘extra’ menerusi kehadiran penyokong-penyokong setia Harimau Kumbang.
“Menentang Sabah FC adalah satu perlawanan yang sukar. Kami bermain tiga perlawanan dalam seminggu dan berharap para pemain dapat memberikan aksi terbaik di laman sendiri.
“Saya berharap penyokong datang beramai-ramai untuk memberi sokongan dan berdoa agar pasukan kita mendapat tiga mata di Stadium Bandaraya. Pasukan juga perlukan aura positif daripada penyokong.
“Saya faham dengan harapan penyokong Pulau Pinang yang mahukan kami bermain dengan lebih bagus. Tetapi dengan masa yang ada kami akan cuba lakukan yang terbaik,” ujarnya.
Penang FC akan berhadapan Sabah FC malam ini dalam saingan Liga Super dan keputusan positif pastinya akan melonjakkan Harimau Kumbang keluar dari zon relegasi.