KEGAGALAN menyempurnakan peluang dikenalpasti sebagai punca utama skuad Penang FC gagal memungut mata penuh selain kelemahan barisan pertahanan yang perlu diperbaiki menjelang jendela perpindahan kedua nanti.

Bagaimanapun jurulatih interim Penang FC, Manzoor Azwira Abdul Wahid positif dengan peningkatan yang ditunjukkan oleh barisannya dalam tiga perlawanan terakhir ini.

Jelasnya pemain-pemain juga sudah menjangkakan apa yang bakal terjadi ketika berhadapan barisan Sabah FC yang mantap dan pasukan memerlukan sokongan daripada penyokong untuk keluar dari zon bahaya.

“Kami sudah cuba yang terbaik tetapi gagal menyempurnakan peluang terutama pada 10 minit pertama. Ini meletakkan tekanan kepada pasukan dan kami perlu lakukan sesuatu untuk mengubah pasukan yang kini di tangga terbawah.

“Kami berjaya menjaringkan dua gol tetapi kami gagal bertahan dengan baik. Ada peningkatan berbanding perlawanan sebelum ini tetapi kami masih gagal menyempurnakan peluang.

“Kombinasi pemain import juga menunjukkan peningkatan tetapi kami perlukan gol untuk membantu pasukan. Kami dihukum atas kesilapan oleh pemain Sabah yang lebih matang di atas padang.

“Apa yang dilakukan di dalam permainan adalah perancangan semasa latihan. Pemain faham dengan keadaan yang berlaku dan pa yang dijangka sememangnya berlaku,” ujarnya pada sidang media selepas perlawanan.

Dalam pada itu, Manzoor memuji barisan pemainnya yang masih bermain menyerang meskipun sudah ketinggalan dan menganggap penjaga gol dan pertahanan Sabah berkualiti.

“Hilal El Helwe mempunyai peluang untuk menjaringkan gol pada akhir permainan tetapi Apek (Khairul Fahmi Che Mat) lebih tangkas dan pertahanan Sabah sememangnya berkualiti.

“Segala perancangan untuk menambah baik pasukan saya perlu tunggu keputusan dari pihak pengurusan dan berharap para penyokong terus menyokong kami kerana para pemain tidak pernah putus asa,” ujarnya.

Liga Super akan berehat selama sebulan dan tempoh ini pastinya akan digunakan sebaik mungkin buat Manzoor untuk memperbaiki segala kelemahan-kelemahan dan membawa Penang FC keluar dari tangga terbawah liga.