KETIKA skrin masa menunjukkan Marc Marquez mengalami kemalangan dengan jentera Ducati pada hari pertama ujian pra musim di Litar Antarabangsa Petronas Sepang, pelumba itu menafikannya selepas tamat sesi.
Mesej dari catatan masa rasmi menjelaskan Marquez terjatuh di Selekoh 15 ketika pertengahan sesi tetapi pelumba Gresini Racing itu menyatakan dia bukan terjatuh sebaliknya berlaku masalah teknikal pada jenteranya.
“Pada selekoh terakhir, mereka katakan saya terjatuh tetapi tidak. Ianya hanyalah isu teknikal apabila saya terus ke arah ‘gravel trap’. Saya menuju langsung dan tidak terjatuh. Selain itu saya mengalami masalah di Selekoh 9 tetapi saya dapat selamatkan motosikal dari terjatuh.
“Saya kembali ke pit dan mempelajari beberapa perkara baharu tentang jentera Ducati menerusi jurutera pasukan dan selepas itu saya belajar dan cuba mendapatkan keyakinan untuk lebih serasi dengan jentera baharu ini,” jelasnya.
Hari pertama ujian pramusim buat Marquez di Sepang tidak berjalan lancar dengan dia hanya di tempat kesembilan terpantas, ketinggalan 0.670 kepada Jorge Martin serta mengalami beberapa masalah teknikal.
“Hari ini adalah hari yang sibuk dan juga pelik kerana pasukan mengalami banyak isu. Namun apa yang positif adalah pasukan bertindak balas dengan baik dan mereka memperbaiki segala masalah menjelang ujian hari kedua.
Marquez, juara lapan kali kelas MotoGP bertukar jentera dari Honda ke Ducati dan akan kembali memanaskan litar pada hari kedua dan ketiga sebagai persiapan sebelum permulaan musim 2024 di Grand Prix Qatar pada Mac.