MARCUS Lim muncul pemain amatur lelaki pertama negara memenangi kejohanan golf jelajah kebangsaan, apabila muncul juara kejohanan Piala Supra 2023, Jelajah Toyota.

Marcus, 21, memenangi perlawanan play-off menentang pemain profesional, Ervin Chang apabila kedua-dua pemain terikat 206 pukulan, 7 bawah par selepas menamatkan permainan 54 lubang sepanjang tiga hari kejohanan.

Pada perlawanan penentuan di lubang ke-18, Marcus melakukan par manakala Ervin mencatat double bogey.

Kemenangan itu membolehkannya mencatat nama sebagai pemain amatur lelaki pertama negara memenangi kejohanan kebangsaan.

Marcus Lim mempamer aksi konsisten untuk menjuarai Piala Supra 2023, Jelajah Toyota, yang berlangsung di Kelab Golf The Mines.

Status amatur dipegang Marcus itu menyaksikannya memenangi trofi kejuaraan namun kempunan untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM31,500 sebagai juara, sekali gus membolehkan Ervin yang memegang status profesional menggondol hadiah itu.

“Satu penghormatan dapat beraksi bersama mereka (pemain profesional) tetapi pada hujung permainan, prestasi saya agak goyah dan agak gementar.

“Mujur hujan dan perlawanan terpaksa dihentikan. Apabila bersambung semula saya dapat mengekalkan kedudukan,” kata Marcus.

Marcus Lim merancang beralih ke profesional selepas tamat pengajian di Amerika Syarikat.

Pada hari pertama, Marcus melakukan 68 pukulan pada hari pertama dan kedua, sebelum menutup saingan hari terakhir dengan 70 pukulan.

Kejayaan Marcus itu menyaksikan dia mengatasi pemain-pemain ternama seperti Ben Leong yang menamatkan saingan di kedudukan ketiga dengan enam bawah par, Danny Chia dan Galven Green di kedudukan keenam selain Gavin Green yang berkongsi kedudukan kelapan bersama lima lagi pemain.

Pada aksi di Kelab Golf Diraja Perak dua minggu lalu, Marcus menamatkan saingan perebutan Piala Corolla, Jelajah Toyota di kedudukan kedua.

Marcus Lim mempunyai masa depan yang cerah dalam sukan golf.

Marcus yang menuntut di Universiti Sacred Heart, Amerika Syarikat (AS) turut menduduki tempat kedua Kejohanan Amatur Terbuka Singapura minggu lalu, selain menjuarai kategori kejohanan remaja Cabaran Golf TSM ke-13 pada Jun dan menduduki tempat kelapan kejohanan peringkat kolej NEC Men’s Championship di AS, Mei lalu.

Dalam pada itu, Aretha Pan membawa pulang RM10,000 selepas memenangi Piala Supra wanita.

Pemain yang beralih ke profesional pada 2013 itu muncul satu-satunya pemain wanita menamatkan permainan 54 lubang di bawah par.

Aretha Pan, muncul satu-satunya pemain wanita menamatkan saingan Piala Supra 2023, Jelajah Toyota, di bawah par.

Aretha mengumpul 210 pukulan tiga di bawah par biarpun mempamerkan aksi terburuknya pada hari terakhir kejohanan hari ini.

Pada hari pertama, Aretha melakukan 68 pukulan di susuli 69 pada hari kedua dan 73 pada hari terakhir.

“Sebenarnya saya agak bergelut di kejohanan ini kerana menggunakan driver baharu dan sukar melakukan putt,” kata Aretha.

Pesaing terdekatnya, Geraldine Wong menamatkan saingan di kedudukan kedua selepas bermain par, mengumpul 213 pukulan.