EDISI sulung Kejohanan Badminton Remaja NCT menyudahi separuh perjalanannya setelah pusingan ketiga berlangsung dengan jayanya di Sports Arena Puchong, Selangor dan berjayam menarik 711 penyertaan, iaitu yang tertinggi setakat ini.
Paling menarik perhatian dalam pusingan ini adalah kedua-dua juara perseorangan lelaki dan perempuan bawah (B) 15 tahun berasal dari Pahang.
Bakat muda Marcus Hang Yug Hwei sememangnya dijangka akan memenangi pusingan ini setelah juara kebangsaan itu terlepas persaingan di dua pusingan awal apabila mengalami kecederaan kaki.
Dia yang gagal tampil di pusingan kedua di kampung halamannya di Kuantan telah mengambil masa tiga bulan untuk pulih sepenuhnya dari kecederaan dan kini berharap dapat kembali ke prestasi sebenarnya apabila memenangi kategori perseorangan lelaki dan berjaya layak ke peringkat akhir bergu lelaki B-15 tahun.
“Kini prestasi saya berada pada tahap 70 peratus dan masih belum pulih sepenuhnya. Saya masih menghadapi kesukaran dalam kejohanan ini,” kata Marcus, yang ketinggalan dua set dalam perlawanan akhir perseorangan, menyamai kedudukan dan kemudian bangkit dari ketinggalan 2-6 untuk memenangi set penentuan.
Mirza Batrisyia Aghnia Nazri, yang juga berasal dari Pahang tidak menghadiri pusingan di Kuantan kerana kecederaan buku lali, lalu terpaksa ke Selangor bagi melunaskan misinya untuk layak ke Grand Final. Mirza memenangi perseorangan perempuan dan muncul naib juara bergu perempuan B-15 lantas melayakkan diri ke Grand Final Jun depan bagi kedua-dua acara.
Mirza berterima kasih kepada NCT atas pendekatan inklusif yang memberi banyak peluang kepada pemain-pemain untuk layak ke peringkat Grand Final, lebih-lebih lagi kepada mereka yang menghadapi masalah kecederaan.
Penganjur Kejohanan Badminton Remaja NCT Datuk Jack Koh menegaskan bahawa sektor awam perlu memainkan peranan dengan menganjurkan lebih banyak kejohanan dan menyediakan platform bagi pemain-pemain muda mengetengahkan bakat mereka dan supaya bakat mereka mendapat perhatian, lebih-lebih lagi untuk pemain-pemain di kawasan pedalaman yang ketandusan peluang-peluang sebegini.
“Itu adalah sebab kenapa saya sering menggambarkan diri saya sebagai ‘jaring keselamatan’ bagi mengelak dari kehilangan permata-permata ini dengan memberi peluang kepada pemain-pemain ini.
“Amat mengalakkan apabila kita lihat ada pemain yang masih tidak berputus asa dan terus mencuba setelah gagal dalam pusingan pertama dan kedua,” ujarnya.
Tambah beliau, kejohanan ini turut memberi peluang kepada pemain-pemain memenangi tiket ke Paris bagi menyaksikan Sukan Olimpik pada bulan Julai dan Ogos nanti, berkat tajaan NCT dan adalah tanggungjawab semua untuk bersama meningkatkan tahap badminton tanahair.
Tetamu kehormat yang juga presiden Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA) Datuk Jahaberdeen Mohamed Yunoos pula berkata kejohanan-kejohanan badminton peringkat remaja harus digalakkan dan beliau terutamanya berpuas-hati dengan usaha menghasilkan pemain-pemain wanita.
“Kejohanan yang dianjurkan dengan baik ini memberi menfaat kepada penduduk Puchong yang begitu ramai. Program Jejak Juara yang dianjurkan KLBA dahulu juga mempunyai objektif yang sama. Kita menyedari bahawa masih ramai bakat-bakat muda di luar sana dan adalah tugas kita untuk mencari dan mengetengahkan mereka.
“Saya berharap sektor swasta dan pihak pentadbir dapat bekerjasama untuk sama-sama tingkatkan tahap badminton di Malaysia,” katanya.
Beliau juga menjelaskan bahawa selain teknik, adalah penting untuk membantu pemain-pemain memperbaiki kekuatan mental dan disiplin.
Selepas Selangor, pusingan seterusnya akan diadakan di Sabah pada 19 hingga 21 April, yang merupakan satu- satunya pusingan yang akan diadakan di Malaysia Timur.
NCT Alliance dengan kerjasama Kelab Badminton Petaling (Petaling BC) telah melancarkan satu inisiatif baru, iaitu sebuah kejohanan badminton remaja, termasuk kejohanan berprestij Road to NCT Junior Badminton Championship yang menyasarkan untuk mengetengahkan bakat-bakat muda yang akan menjadi juara di masa hadapan.
Kejohanan ini bermula dengan peringkat remaja yang menyasarkan penyertaan dari pemain-pemain berumur 9 hingga 15 tahun.
Untuk menambahkan lagi insentif dan meningkatkat persaingan, peserta-peserta berpeluang mememenangi peluang keemasan berupa tajaan sepenuhnya bagi menyaksikan Sukan Olimpik 2024 yang akan berlangsung di Paris.