MARHAN Jalil kembali menyarung lilitan kapten Speedy Tigers ketika menggalas cabaran ke kempen Piala Dunia di Bhubaneswar-Roukela, bulan depan.

Pengumuman itu dibuat Pengurus Pasukan Kebangsaan Datuk Mirnawan Nawawi dan Ketua Jurulatih Kebangsaan, A Arulselvaraj, di Pejabat Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, pada Khamis.

Marhan yang kembali dari kecederaan panjang, bersama Faiz Helmi Jali, kembali ke pangkuan pasukan yang turut menyaksikan seorang pemain yang belum memiliki kaps bersama skuad negara.

Marhan Jalil kembali menyarung lilitan kapten Speedy Tiger.

“Dua pemain muda Tengku Nasrul Ikmal Hakimie Tengku Abd Rahim dan Shahmie Irfan Suhaimi turut disenaraikan dalam senarai pemain simpanan yang akan bersedia menggantikan mana-mana pemain dalam senarai 18 utama, jika mengalami kecederaan,” kata Mirnawan.

Mengulas mengenai pelantikan semula Marhan sebagai ketua pasukan, Mirnawan berkata: “Daripada senarai ini ketua pasukan, kita sebulat suara melantik Marhan sebagai ketua pasukan hoki kebangsaan dan seperti sedia maklum sebelum ini Marhan tidak dapat bersama pasukan di Piala Sultan Azlan Shah dan Piala Negara-Negara di Afrika Selatan kerana kecederaan dan tugas itu digalas dengan begitu baik oleh Najmi Farizal (Jazlan).

“Oleh itu, untuk Piala Dunia nanti, Marhan akan menggalas tugas sebagai ketua pasukan dan kalau dilihat daripada senarai dipilih, dua pemain simpanan iaitu Tengku Nasrul Ikmal Hakimie Tengku Abd Rahim dan Shahmie Irfan Suhaimi, masing-masing berusia 21 dan 20 tahun.

“Shahmie belum pernah beraksi dalam skuad senior, dan bakal menjadi kaps pertama buat dirinya. Ini satu pengalaman atau peluang yang begitu baik diberikan jurulatih kepadanya,” kata pengurus pasukan, Datuk Mirnawan Nawawi dalam satu sidang media, hari ini.

Sementara itu, Muhammad Hafizuddin Othman dan Adrian Andy Albert yang memperkuat pasukan ke kempen Piala Negara-Negara awal bulan ini, dikekalkan mengemudi gawang Speedy Tiger.

Dengan kembalinya Marhan, menjadikannya pemain kedua paling berpengalaman dalam skuad dengan 278 kaps selain Muhammad Razie Abd Rahim (306) serta Faizal Saari (266).