DESAS-DESUS mengaitkan Terengganu FC (TFC) dengan seorang pemain berpengkalan di Croatia, Marin Pilj, makin bertiup kencang apabila pemain itu menamatkan kontrak bersama kelabnya, NK Varazdin.

Perkara tersebut disahkan kelab liga utama Croatia itu sekali gus memberi bayangan pemain tengah itu bakal menyarung jersi TFC menghadapi musim baharu Liga Malaysia (Liga M).

“Pada pertengahan musim, pihak kelab NK Varazdin telah menyatakan hasrat untuk menyambung kontrak baharu dan terma-terma sudah dipersetujui di pihak pemain (Pilj).

“Bagaimanapun lanjutan kontrak itu tidak ditandatangani dan Pilj telah pun beraksi buat kali terakhir untuk kelab ini pada 2 Februari lalu.

“Pihak kelab mengucapkan terima kasih atas sumbangannya dan selamat maju jaya bersama pasukan baharu,” tulis kenyataan kelab itu di laman sosial media rasminya pada Isnin.

Sebelum ini pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner, menyatakan hasrat untuk mendapatkan khidmat dua lagi pemain tengah sebelum berjaya membawa masuk Manuel Ott.

Namun jurulatih itu mengakui terpaksa melupakan hasrat mendapatkan khidmat Igor Postanjski yang juga ketua pasukan NK Varazdin dan rakan sepasukan Pilj di liga Croatia.

“Memang Igor adalah pilihan pertama kami untuk memperkuatkan jentera tengah namun dia tidak dapat bersama TFC musim ini, jadi pemain lain yang akan menjadi alternatif kepada pasukan,” katanya.

Ketika ini TFC diperkuatkan enam awang import iaitu Argzim Redzovic, Matthew Steenvoorden, Nurllo Tukhtasinov, Manuel Ott, Ismaheel Akinade, Ivan Mamut.