PEMAIN import baharu Terengganu FC, Marin Pilj mengakui dia cukup teruja melihat sambutan penyokong skuad Penyu ketika perlawanan persahabatan Agarbomb Performance Cup 2024 yang berlangsung di Kuala Terengganu, minggu lalu.

Dalam tiga aksi itu, lebih 10,000 penyokong hadir ke stadium meskipun dalam keadaan cuaca hujan dengan aksi pertama menentang Penang FC mencatatkan kehadiran tertinggi hampir 5,000 orang.

Marin yang menyertai Terengganu pada jendela perpindahan pertama juga mahu sokongan seperti ini berterusan sepanjang musim ketika pasukannya beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dalam saingan Liga Malaysia musim 2024-25.

Marin selesa di Terengganu dan sedia rebut kesebelasan utama

“Sangat teruja dengan sokongan yang diberikan para penyokong di stadium. Saya gembira kerana ianya menambah semangat ketika beraksi dan walaupun penat, ianya cukup baik untuk berikan kejuaraan buat mereka.

“Saya berharap sokongan begitu akan berterusan setiap kali kami bermain di sini kerana penyokong adalah tulang belakang pasukan dan kami sebagai pemain akan berikan yang terbaik untuk memuaskan hati mereka,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN.

Pemain berusia 28 tahun itu juga mengakui dia gembira berada di Terengganu dan tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dengan rakan-rakan sepasukan kerana semua mengikut arahan yang diberikan ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner.

Kehadiran penyokong jadi semangat tambahan buat pemain Terengganu FC

“Saya selesa di sini dan semua pemain mengikut arahan yang diberikan jurulatih. Kami mudah serasi dan akan bertambah baik sepanjang musim. Tidak sabar untuk buktikan kemampuan Terengganu musim ini,” jelasnya.

Kehadiran Marin menambah pilihan Steinbruckner di bahagian tengah pasukan dan Marin bersedia untuk merebut kesebelasan utama dengan berikan yang terbaik ketika sesi latihan dan perlawanan pramusim.

Terengganu kini dalam rangka persiapan pramusim dengan dua perlawanan sudah diatur bertemu seteru Pantai Timur, Sri Pahang FC di Temerloh pada 28 April sebelum bertemu Kelantan Darul Naim FC pada 3 Mei di laman sendiri.