DUA bekas atlet wanita kebangsaan, Datuk Marina Chin dan Datuk Nicol David, mendapat pengiktirafan untuk memacu sukan negara ke tahap lebih tinggi apabila tersenarai antara enam yang dilantik sebagai anggota Lembaga Institut Sukan Negara (ISN).

Pengumuman itu dibuat Menteri Belia dan sukan, Hannah Yeoh pada Majlis ISN Inspire, di Bukit Jalil.

Hannah ketika mengumumkan enam nama anggota Lembaga ISN baharu itu berkata, setiap dilantik mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing dan yakin bakal mencetuskan impak positif kepada ISN, dalam memacu kecemerlangan negara dalam bidang sains, perubatan dan teknologi sukan.

Datuk Marina Chin dilantik sebagai Pengerusi Lembaga ISN yang baharu.

Marina Chin atau Datuk Chin Leng Sim, bekas Olahragawati Kebangsaan dilantik sebagai Pengerusi Lembaga ISN, manakala Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan, Dr Mohd Azman Yacob dilantik sebagai wakil daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

Empat lagi calon lantikan Menteri, terdiri daripada Nicol; Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk V Subramaniam; Pengerusi Jawatankuasa Majlis Olimpik Malaysia Wilayah Timur, Dr Tan Kah Hock dan Pensyarah Fakulti Sukan dan Sains Eksesais Universiti Malaya, Dr Mohamed Nashrudin Naharudin.

Datuk Nicol David (tengah) pernah berada di ranking nombor satu dunia dan kini menjadi pengasas dan ketua jurulatih Organisasi Nicol.

Hannah berkata, pelantikan anggota Lembaga ISN baharu itu diputuskan dalam mesyuarat Lembaga ISN pertama pada 15 Ogos lalu.

“Pihak KBS yakin bahawa Lembaga ISN yang baharu bersam pihak pengurusan kanan ISN yang diketuai CEO Ahmad Faedzan Md Ramli, komited dalam memacu ekosistem sukan negara yang mampan, meningkatkan potensi serta prestasi atlet di persada sukan antarabangsa, sejajar strategi dan inisiatif dalam Pelan Strategik ISN 2030 (V30),” kata Hannah.