PELUMBA Onexox BMW TKKR Racing, Markus Reiterberger muncul juara Kejuaraan FIM Asia Road Racing  (ARRC) 2023 di Litar Antarabangsa Zhuhai, China.

Reiti mengesahkan gelaran kejuaraan Asia itu hanya dalam pusingan kelima berbanding enam pusingan yang ditetapkan dan memenangi kedua-dua perlumbaan dari petak pertama serta tidak dapat dikejar dalam kedudukan keseluruhan.

“Ia adalah hujung minggu yang menakjubkan. Sesi latihan pada Jumaat dan kelayakan pada Sabtu berjalan dengan sangat baik. Saya mencipta rekod prestasi baharu dengan qualifying tyre.

“Saya mempunyai perasaan yang baik serta-merta. Saya memulakan permulaan yang baik pada perlumbaan pertama dan mendahului awal.

“Kami berjaya merangkul kejuaraan lebih awal. Sangat berterima kasih kepada pasukan saya dan menantikan musim yang hebat yang kami lalui setakat ini. Kami semua bekerja dengan sangat baik.

“Saya mendedikasikan kemenangan kepada penyokong lama saya, Alois Singer,” kata pelumba Jerman berusia  29 tahun itu yang akan membuat penampilan pusingan terakhir di Buriram, Thailand pada 1 hingga 3 Disember depan.

Sementara itu, pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman juga tidak kurang hebatnya apabila berjaya berada di podium tempat ketiga untuk perlumbaan akhir 1 dan 2 seterusnya mengutip mata berharga bagi anugerah berpasukan ASB 1000 Asia Road Racing Championship 2023.

Shafiq Rasol pula memberikan podium tempat pertama UB150 dalam perlumbaan akhir 2 yang cukup sengit dan mendebarkan. Dia turut memperbaiki kedudukan keseluruhan apabila berada ditempat kedua dengan 112 mata.

May be an image of 1 person, motorcycle and text

Shafiq Rasol meraih podium tempat pertama perlumbaan akhir 2 UB 150.

“Agak malang buat Hafiza dan Hakim apabila kedua-duanya gagal menamatkan perlumbaan akhir 2 akibat kerosakan mekanikal,” kata kenyataan TKKR Racing Team.

Dalam pada itu, Keito Abe berjaya menamatkan perlumbaan akhir 2 ditempat ke-6 setelah gagal dalam perlumbaan akhir 1 apabila terjatuh di awal perlumbaan. Keito Abe masih mengekalkan kedudukan ditempat ke-5 keseluruhan kategori SS600 dan akan bangkit untuk pusingan terakhir nanti.

“Tahniah diucapkan kepada semua keluarga besar ONEXOX TKKR Team dan terima kasih buat semua penaja, penyokong dan mereka yang terus memberikan semangat untuk kami terus berjuang dan mengharumkan nama negara,” katanya lagi.