PUSAT latihan pasukan Selangor FC mula dikawal ketat hari ini (Isnin) selepas insiden yang menimpa pemain utama pasukan tersebut, Faisal Abdul Halim.

Dengan menempatkan lebih kurang enam marshall di luar kawasan pusat latihan, keadaan di sini kelihatan lebih terkawal dan teratur sejurus dapat memastikan keselamatan pihak pengurusan dan juga pemain lebih terjamin.

Hasil tinjauan FLASH SUKAN di pusat latihan ini juga mendapati bahawa semua pegawai, pengurusan atasan serta pemain telah berkumpul di sini kerana mempunyai satu taklimat pasukan bersama pemain.

Pemain Selangor juga kelihatan berada di kawasan Pusat Latihan di sini.

Tidak dinafikan, pihak media turut merasai sendiri situasi tegang di sini, tambah lagi dengan timbulnya satu ugutan daripada pihak yang tidak dikenali terhadap beberapa individu penting Selangor FC yang baru sahaja tular di media sosial.

FLASH SUKAN cuba mendapatkan maklum balas mengenai isu tersebut, namun pihak Selangor FC enggan menjawab sebarang pertanyaan daripada pihak media sekali gus tidak membenarkan sebarang liputan dilakukan di kawasan ini.

Terdahulu, FLASH SUKAN memaklumkan bahawa insiden buruk telah menimpa pemain sensasi The Red Giants, Faisal Halim dan mengakibatkan kecederaan serius di beberapa bahagian badannya.