DUA bekas atlet terjun Bryan Nickson Lomas dan Khairul Safwan Mansur, kini bertanggungjawab dengan kemajuan sukan terjun negara selepas Persekutuan Renang Malaysia (MAS) mengesahkan kedua-duanya calon paling sesuai selepas proses pemilihan dan temuduga yang dijalankan.
Setiausaha Kehormat MAS, Andy Low berkata, dua bekas atlet terbabit akan mula menjalankan tugas masing-masing pada 1 Oktober depan.
Menurut Andy, Bryan dilantik sebagai Pengarah Teknikal (TD) manakala Khairul Safwan, Pengarah Prestasi Tinggi (HPD).
Katanya, kehadiran Bryan dan Khairul diyakini dapat membantu MAS melonjakkan prestasi atlet negara dan memperkasakan lagi program pembangunan akar umbi.
“Selepas berunding, dua calon yang kami pilih sudah pun bersetuju untuk menandatangani kontrak dengan pihak MAS iaitu Bryan untuk jawatan Pengarah Teknikal, manakala jawatan Pengarah Prestasi Tinggi disandang Khairul.
“Sudah pasti selepas mereka dilantik, kami mahu lihat perubahan iaitu skuad negara mula meraih pingat emas.
“Seluruh negara mahukan pingat emas daripada kami, jadi semuanya tidak mustahil sekiranya mereka bekerja keras seperti pasukan China, dan saya yakin kita mampu untuk tewaskan mereka suatu hari nanti,” kata Andy.
Beliau berkata, keputusan untuk menggunakan kepakaran tempatan dibuat kerana mahu memberi peluang kepada mereka untuk membuktikan kemampuan masing-masing.
“Kami memberikan jawatan ini kepada orang tempatan, kedua-duanya sekali. Kami memang mahu mencuba kerana bersemangat untuk menggunakan khidmat tenaga tempatan bagi menggerakkan semula sukan ini justeru kami mengharapkan keputusan yang lebih baik.
“Kami akan duduk berbincang dengan mereka bagi merangka satu perancangan jangka masa pendek dan panjang untuk mencari lebih banyak bakat baharu dan melahirkan lebih ramai pelapis,” katanya.
Bryan, 33 tahun pernah mencipta sensasi apabila menjadi atlet kedua termuda dunia yang beraksi di Sukan Olimpik Athens 2004 selain pernah diangkat menjadi juara remaja dunia pada tahun yang sama.
Selepas bersara pada 2015, Bryan pernah menjadi jurulatih sambilan untuk pasukan negeri Selangor dan kemudian berkelana ke Timur Tengah untuk menjadi tenaga pengajar bagi Kelab Terjun Kazma di Kuwait.