PENGENDALI baharu Chelsea, Enzo Maresca memberi bayangan berkenaan masa depan Raheem Sterling di Stamford Bridge apabila menggugurkan pemain sayap itu ketika kunjungan Manchester City.

“Saya mahu Raheem Sterling tetapi saya juga mahu kesemua 30 pemain yang kami ada, namun tidak ada ruang untuk semua orang. Jadi sebahagian daripada mereka perlu pergi,” kata Maresca selepas kekalahan 2-0 pada aksi pertama Liga Perdana Inggeris itu.

Ketika ditanya berkenaan ketiadaan pemain England itu, Maresca berkata pengguguran Sterling daripada skuad adalah berdasarkan keputusan teknikal.

Wakil Sterling mengeluarkan kenyataan sebelum sepak mula, menyatakan pemain itu mempunyai hubungan baik dengan Maresca dan kekal komited untuk membantu Chelsea.

“Kami menjangkakan yang Raheem akan terbabit dalam perlawanan ini. Kami sentiasa mempunyai perbincangan positif, dan jaminan daripada Chelsea FC berkaitan masa depan Raheem di kelab, jadi kami mahukan penjelasan dalam situasi ini,” kata kenyataan berkenaan.

Sterling menyertai Chelsea dari Manchester City pada tahun 2022 tetapi prestasinya turun naik sepanjang di Stamford Bridge dan tidak tersenarai dalam skuad Euro 2024 England.