KETUA jurulatih Police Tero FC, Tan Cheng Hoe mengakui bahawa masa depannya masih samar bersama kelab Thai itu selepas tamat musim 2023/24.

Dia mengutarakan perkara ini ketika sidang media selepas perlawanan antara Police Tero dan Chiangrai United yang berlangsung semalam.

Walaupun bekas jurulatih kebangsaan negara dibawa masuk ke pasukan itu pada Mac lepas untuk menstabilkan pasukan, prestasi pasukan itu masih lagi tidak berubah.

Tan Cheng Hoe masih belum mampu untuk mengubah nasib Police Tero. (Sumber Gambar: Police Tero FC)

Beliau hanya meraih satu kemenangan, dua seri dan empat kekalahan semenjak mengambil alih pasukan The Silver Shield Dragon.

“Sudah tentu. Sejak saya datang buat kali pertama di Thailand dan bekerja dengan Police Tero, secara keseluruhan saya gembira dengan pihak pengurusan.

“Para pemain dan staf kejurulatihan memberi sokongan padu kepada saya. Sudah tentu sama ada Police Tero kekal di Thai League 1 atau tersingkir ke Thai League 2, saya tak pasti tentang masa depan saya,” katanya dalam sidang media.

Tan Cheng Hoe sudah mengendalikan pasukan Thai itu sejak Mac lepas. (Sumber Gambar: Police Tero FC)

“Saya perlu berbincang dengan pihak pengurusan. Tetapi bagi saya, saya mahu kekal di Thailand tak kira apa jua situasi kerana ini pengalaman baru untuk saya.

“Saya mahu belajar sesuatu dan beradaptasi dengan budaya tempatan. Saya juga mahu belajar tentang bola sepak Thailand,” tambahnya lagi.

Kini, Police Tero menghuni zon penyingkiran dalam Thai League 1 dengan 25 mata selepas mengharungi 27 perlawanan.