HANYA tiga hari tempoh masa untuk skuad sepak takraw negara menyertai kem latihan pusat, sebagai persiapan ke Kejohanan Piala Raja Thai 2023.
Ketua Jurulatih skuad sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun berkata, masa terlalu singkat untuk membina pasukan yang ampuh bagi menghadapi kejohanan Piala Raja Thai berikutan pemain terikat dengan komitmen bersama pasukan masing-masing di kejohanan Liga Sepak Takraw (STL).
Malah lebih memburukkan keadaan, pemain yang dipanggil menyertai kem kebangsaan, rata-rata kurang cergas.
“Dari persiapan… memang sangat singkat sebab ketika ini STL masih berjalan. Jadi ada kekangan nak kumpul pemain.
“Selain itu turut merisaukan saya adalah dari kecergasan dan daya tahan pemain. Bagaimanapun kami bernasib baik apabila jadual kejohanan tidak padat dan jauh berbebza berbanding Sukan SEA,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Jais berkata, beberapa nama baharu turut dipanggil untuk memperkuat skuad negara kali ini, dan mahu pemain menunjukkan prestasi terbaik.
“Piala Raja Thai akan menjadi kayu pengukur prestasi setiap pemain. Jadi, masih ada peluang untuk pemain di luar sana buktikan kewibawaan masing-masing.
“Oleh itu, saya harap pemain negara, bersiap sedia untuk mempamerkan aksi cukup baik menjelang Piala Raja Thai kerana kita akan hantar pemain yang benar-benar baik untuk menyarung jersi negara,” katanya.
Sebagai rekod, pada edisi Piala Raja Thai kali 9 hingga 16 Julai, Malaysia mengekalkan tujuh pemain daripada skuad yang memenangi tiga pingat perak Sukan SEA Kemboja termasuk Syahir Rosdi, Azlan Alias, Amirul Zazwan Amir dan Noraizat Nordin serta Aidil Aiman Azwawi
Selebihnya ialah mereka yang sudah berpengalaman antarabangsa seperti Hairul Hazizi Haidzir, Farhan Adam dan Muqlis Borhan manakala hanya seorang pendatang baharu, Shahalril Aiman Halim.
Pada edisi lalu, skuad negara berjaya membawa pulang satu pingat emas menerusi acara double (regu dua sepasukan), dan dua gangsa yang hadir menerusi acara regu dan regu berpasukan.