MASIH bergelut dengan masalah pembayaran gaji dan mungkinkah perkara itu menjadi satu punca penghijrahan beramai-ramai oleh pemain Kedah Darul Aman FC?

FLASH SUKAN telah mendapatkan komen daripada bekas pengendali Kedah FC sendiri iaitu Mohd Azraai Khor Abdullah yang bersetuju bahawa masalah gaji menjadi faktor utama satu persatu pemain menarik diri dari kelab tersebut.

Nama Azraai Khor tidak asing lagi dalam dunia bola sepak kerana menjadi salah satu watak pengendali yang cukup cemerlang selepas meraih kejuaraan double treble bersama Kedah pada tahun 2007 dan 2008.

Beliau yang memiliki pengalaman luas dalam merangka kejayaan gemilang skuad Hijau Kuning itu bagaimanapun memahami keterpaksaan pemain yang harus meninggalkan kelab Sang Kenari walaupun jiwanya masih kuat untuk bersama pasukan tersebut.

“Punca utama mereka keluar dari Kedah adalah kerana gaji tidak dibayar selama tiga bulan, malah kini sudah tiba ke penghujung tahun ada yang kontrak habis, setelah itu ada kelab lain yang memberi tawaran kepada mereka.

“Mereka juga perlu mendapatkan masa depan yang lebih baik, dan apabila ada pasukan yang lebih bagus dalam menjaga bab kebajikan pemain, terpaksalah mereka pergi untuk menyara kehidupan sendiri mahupun keluarga.

“Masalah gaji pemain ini muncul apabila di pertengahan jalan musim, dan ianya lebih menjurus kepada isu dalam pihak pengurusan kelab itu sendiri. Dari segi kejurulatihan mahupun teknikal pasukan semua tiada masalah.

“Malah coach Nafuzi sendiri berjaya memacu kejayaan skuad hingga mencapai KPI yang diletakkan oleh KDFC sendiri untuk jadi ‘top’ 4, dan kebetulan memang ‘top’ 4.

“Soal masa depan, setakat hari ini saya dan keluarga Kedah FC yang lain tidak tahu menahu tentang hala tuju Kedah. Ada juga dengar khabar angin tentang pihak yang ingin ambil alih Kedah tetapi masih tiada kata putus jadi kita hanya perlu tunggu dan lihat sahaja,” ujarnya.

Bekas jurulatih yang berusia 71 tahun itu bagaimanapun masih berharap agar Kedah FC dapat dipulihkan seperti sediakala.

“Saya sebagai mantan pemain Kedah dan mantan jurulatih Kedah sangat menaruh harapan agar masalah ini dapat di atasi segera oleh kerana pemain-pemain masih menunggu gaji mereka.

“Saya juga tidak boleh memberi sebarang cadangan untuk pihak Kedah FC kerana siapalah saya untuk bercakap dan mereka mungkin tidak ingin dengar,” katanya.