MASALAH kecederaan masih lagi membelenggu pasukan dari pantai timur, Sri Pahang FC menjelang perlawanan Liga Super menentang Perak pada Sabtu ini.

Menurut ketua jurulatih Tok Gajah, Fandi Ahmad berkata kecederaan yang dialami beberapa pemain menjejaskan persiapan pasukan ketika skuad Sri Pahang mahu mengutip tiga mata di halaman sendiri.

“Sudah pasti Sri Pahang akan berusaha dengan pemain sedia ada walaupun ada beberapa pemain tidak boleh bermain akibat kecederaan.

“Inilah masalah besar dihadapi ketika ini, tetapi pemain sedia ada perlu memberikan komitmen tinggi dan berada pada prestasi terbaik untuk menyekat lawan daripada membawa pulang mata,” katanya kepada media tempatan.

Antara pemain yang tidak dapat beraksi pada perlawanan Sabtu ini ialah Stefano Brundo, Aleksandar Cvetkovic, David Rowley dan Hasnul Zaim.

Fandi menambah bahawa kecederaan kaki kanan Brundo paling serius kerana memerlukan sekurang-kurangnya enam minggu untuk pulih sebelum beliau dapat beraksi semula.

Dalam perlawanan sebelum ini, Sri Pahang hanya mampu mencatat keputusan seri 2-2 menentang Kedah Darul Aman FC di Alor Setar.

Pasukan Tok Gajah itu akan bertemu Perak FC esok jam 9 malam di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh.