HASRAT Umar Osman menjalani latihan dan melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat (AS) nampaknya belum kesampaian, apabila dia terpaksa menangguhkan hasratnya itu, gara-gara kelewatan pendaftaran di Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA).

Gara-gara masalah teknikal itu, Umar yang juga pemilik rekod kebangsaan 400 meter (m), perlu menunggu sehingga Ogos depan untuk memasuki Universiti Auburn di Amerika Syarikat (AS).

Menurutnya, pendaftaran dengan NCAA terlebih dahulu perlu dibuat sebagai sebahagian daripada syarat melanjutkan pelajaran di universiti berkenaan.

Umar Osman akur peraturan kemasukan ke Universiti Auburn, ketat.

“Saya baru dapat tahu daripada jurulatih Azeem (Fahmi) Ken Harnden bahawa saya terpaksa datang ke AS Ogos ini sebab untuk bulan Januari ini tak sempat buat pendaftaran kerana NCAA lambat menghantar permohonan saya.

“Kalau di AS bila kita lambat dua hari pun kita tak akan dibenarkan masuk dan terpaksa tunggu bulan Ogos untuk pengambilan kedua,” katanya.

Namun bagi Umar dia menerima keputusan itu dengan hati terbuka kerana menganggap mungkin ada hikmah di sebaliknya.

“Pada mulanya memang ada rasa sedikit kecewa sebab saya sasarkan nak pergi Januari ini, tapi tak ada rezeki. Mungkin ada hikmah saya pergi bulan Ogos.

“Kalau boleh Ogos saya boleh pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan dapat membuktikan kepada Auburn saya memang layak ke sana,” katanya, yang akan mengambil jurusan reka bentuk industri di Universiti Auburn, universiti yang sama dengan pelari pecut negara Azeem.

Ujarnya, dia tidak bimbang lagi mengenai kedudukan ke Universiti Auburn kerana namanya sudah berada dalam senarai pelajar di sana.

Umar, 20, antara atlet negara paling menyerlah tahun ini dengan namanya mula meniti di bibir peminat olahraga apabila meraih emas dan memecahkan rekod kebangsaan di Sukan Sea Kemboja Mei lalu dengan catatan 46.34s.

Dia kemudian cemerlang di Sukadn Universiti Dunia di Chengdu, China apabila dua kali memecah rekod kebangsaan (46.33s dan 46.09s).