KETUA jurulatih Thailand, Masatada Ishii nyata teruja untuk kembali meneruskan tradisi perseteruan dengan Malaysia yang dianggap pencabar utama dalam Kumpulan A selain Singapura di Kejohanan Piala Asean Mitsubishi Electric 2024.

Selepas selesai undian kejohanan itu semalam, pengendali kelahiran Jepun itu menyaksikan Thailand selaku juara bertahan bakal bertemu Malaysia, Singapura, Kemboja serta pemenang pusingan kelayakan antara Brunei dan Timor Leste di peringkat kumpulan.

Manakala finalis tahun lalu serta juara 2008 dan 2018 Vietnam bakal berentap dalam Kumpulan B bersama Indonesia, Filipina, Myanmar dan Laos.

Piala AFF 2022: Thailand juara Kumpulan A, Indonesia ekori ke separuh akhir

Skuad Thailand yang menjuarai edisi 2022.

Kali terakhir Thailand dan Harimau Malaya bertemu adalah peringkat separuh akhir Piala Asean tahun lalu di mana skuad kendalian Kim Pan-gon menang 1-0 pada pertembungan pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum tunduk 3-0 di gelanggang lawan.

Ishii yang mengambil alih tugas Alexandre Polking pada 22 November 2023 percaya persaingan Kumpulan A pasti menarik dengan kehadiran Malaysia.

“Jika melihat kepada keputusan undian itu, sama ada Singapura atau Malaysia, masing-masing memiliki jurulatih yang mempunyai reputasi yang bagus. Jadi sudah tentu persaingan di peringkat kumpulan akan menjadi lebih menarik,” katanya sebagai dipetik dalam www.dailynews.co.th.

Piala AFF 2022 : Ini tip taktikal untuk menewaskan Thailand pada separuh akhir ke-2

Skuad Harimau Malaya berpotensi melakar kejutan ke atas Thailand.

Ishii mantan ketua jurulatih Buriram United yang membawa kelab Liga 1 Thai itu melakar kejuaraan ‘Treble’ buat dua musim berturut-turut pada 2021-2022 dan 2022-2023 mengakui tidak berdepan tekanan untuk Thailand memburu gelaran ke-8 Piala Asean.

“Thailand selaku juara bertahan pastinya akan menjadi tumpuan dalam kejohanan ini. Kami akan berusaha beraksi dengan baik, mengikut gaya kami kerana ini adalah salah satu kejohanan yang penting.

“Buat masa ini tidak ada banyak tekanan kerana saya lebih memberi fokus pada perlawanan kelayakan Piala Dunia akan datang. Jika kejohanan Piala Asean Mitsubishi Electric semakin hampir, kami akan membuat perancangan,” katanya.

Saingan peringkat kumpulan Piala Asean akan bermula pada 23 November hingga 7 Disember 2024.