PERSATUAN Kanu Malaysia (Masca) bersedia menghulurkan bantuan yang diperlukan keluarga Siti Nurul Masyitah Elias, selepas atlet kebangsaan itu mengalami kecederaan parah akibat kemalangan jalan raya Sabtu lalu.
Presidennya, Raja Shahrul Azremel Raja Sahar berkata, pihaknya memahami situasi keluarga mangsa yang berada dalam situasi sukar ketika ini.
“Persatuan akan menyediakan peruntukan dan tabung derma kilat juga sudah digerakkan agar warga kayak dan juga orang ramai dapat membantu menghulurkan bantuan bagi meringankan proses rawatan beliau (Siti Nurul Masyitah),” katanya.
Raja Shahrul Azremel turut berharap agar Siti Nurul Masyitah terus tabah dan kuat dalam menghadapi dugaan ini, sambil menyeru rakyat Malaysia mendoakan kesembuhan supaya gadis itu kembali menabur bakti dalam sukan kayak negara.
“Saya difahamkan Siti seorang yang kuat semangat dan kami di Masca mendoakan dia dipermudahkan rawatan dan diberikan kesembuhan segera agar dia dapat kembali menyumbang ke dalam keluarga kayak.
“Besar harapkan kami agar dia kembali sihat seperti biasa,” katanya.
Raja Shahrul berkata, peristiwa menimpa pemenang pingat gangsa Sukan Sea Kemboja 2023 dalam acara perahu naga itu, amat dirasai oleh rakan atlet kerana mengenali Siti, dia adalah seorang atlet yang mempunyai semangat juang tinggi dan seorang periang.
FLASH SUKAN sebelum ini melaporkan Siti terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL) pada Sabtu lalu.
ARTIKEL BERKAITAN : Atlet kayak negara Masyitah diseret sejauh 600 meter
Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang, motosikal ditungganginya dirempuh dari belakang dan diseret oleh sebuah kereta dipercayai dipandu lelaki di bawah pengaruh alkohol.
Media tempatan turut memetik, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mendedahkan bahawa kereta suspek mengubah haluan secara tiba-tiba dari lorong tengah ke lorong kiri dan melanggar mangsa.