KETUA jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah mengakui masih banyak perkara perlu diperbaiki terhadap pasukannya biarpun persiapan pra-musim berjalan dengan baik.

Pasukan The Bos Gaurus sudah memenangi perlawanan persahabatan menentang pasukan Singapura, Geylang International FC dengan keputusan 3-0 dan akan bertemu dengan satu lagi pasukan Singapura iaitu Albirex Niigata.

Namun, dia belum mampu menarik nafas lega kerana masih lagi kelemahan yang perlu dibaiki.

“Masih banyak perkara yang perlu diperbaiki terutama dari segi aspek kawalan bola serta hantaran kepada rakan, pemain juga perlu lebih efektif apabila pasukan memiliki bola,” kongsinya kepada FLASH SUKAN.

Adilet Kanybekov antara pemain yang menjaringkan gol ketika menewaskan Geylang International FC. (Sumber Gambar: FB Perak FC)

Ditanya mengenai persiapan pasukan menjelang perlawanan persahabatan esok, Yusri berkata bahawa beliau akan terus melakukan perubahan pemain untuk memberikan semua pemain ruang dan peluang beraksi dan dalam masa yang sama pemain mendapat 45 minit permainan setiap seorang.

“Tahap kecergasan amat saya tekankan terutama kita beraksi dengan pasukan yang lebih baik daripada kita dan ianya menuntut kesungguhan dari semua pemain di setiap posisi untuk fokus serta memberikan sepenuh perhatian terhadap perancangan pasukan.

“Saya masih lagi akan menggunakan formasi yang sama kerana bagi saya pemain perlu memahami dengan betul dan ianya akan hadir daripada perlawanan persahabatan dan dari segi kesebelasan yang akan di turunkan pula saya lebih cenderung untuk menukar pemain-pemain tertentu untuk mencari keserasian.

“Keserasian pemain masih lagi jauh tetapi ada beberapa aspek yang bagus dalam perlawanan terdahulu dan saya mengharapkan ianya akan menjadi lebih baik untuk perlawanan esok,” ujarnya lagi.

Perak FC akan bertemu dengan juara bertahan Liga Singapura, Albirex Niigata pada jam 10 malam esok di Stadium Perak.

Tiket untuk menonton masih lagi dijual manakala siaran langsung berbayar dibuat oleh pihak media pasukan Perak FC sendiri.