MORAL pemain Kuching City FC (KCFC) pada tahap terbaik dan tertinggi bagi menghadapi aksi timbal balik suku akhir TM Piala Malaysia 2022 di Stadium Likas, pada Jumaat.

Meskipun mencatat keputusan tidak menyenangkan di halaman sendiri, penolong ketua jurulatih Kuching City FC, Sulaiman Hussin percaya masih ada lagi saingan 90 minit untuk menukar skrip.

Katanya, perkara mustahak mereka tidak boleh gopoh kerana Sabah FC dibarisi ramai skuad berpengalaman yang boleh menjerat anak buahnya nanti.

“Pastinya ketenangan dan perancangan sangat penting. Kedua, kami jangan bolos lagi dan saya minta pemain supaya fokus dalam perlawanan atas padang.

“Insya Allah, kita boleh comeback walaupun kini sedang ketinggalan 1-0,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Sulaiman memberikan arahan dari tepi padang semasa aksi suku akhir pertama di Kuching.

Sulaiman yang merupakan pembantu kepada Irfan Bakti Abu Salim mengarahkan para pemain menyiapkan dari segi mental dan fizikal bagi menyerap tekanan fanatik penyokong tuan rumah.

“Tahun ni kita dah main di hadapan 40,000 penyokong Terengganu, ribuan penyokong Kelantan dan Perak. Sebagai pemain profesional, pemain KCFC boleh kawal dan atasinya,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN : Piala Malaysia 2022 : Kuching City lepasi tambahan masa 120 minit mendebarkan untuk lakar sejarah mara ke suku akhir

Bekas tonggak Kuala Lumpur itu turut menggesa bahagian pertahanan tidak memberi muka dan menutup ruang dua pemain berbahaya Sabah, Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali.

Gerak geri Rizal harus dirantai sepenuhnya pemain Kuching City FC.

“Mereka ini kena awasi setiap masa termasuk pemain lain Sabah,” katanya akui ada beberapa pemain  The Cats berdepan kecederaan dan penggantungan pemain utama

Namun dia percaya, pemain lain yang akan diturunkan Irfan Bakti boleh memanfaatkan peluang disajikan serta membalas kepercayaan di dalam padang.