BANYAK lagi kerja perlu dilakukan Kuala Lumpur (KL) City FC sebelum menghadapi final Piala FA 2023 menentang JDT, selepas pasukan itu diikat Negeri Sembilan FC 1-1 dalam aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

Skuad tuan rumah berjaya mendahului hingga ke tamat perlawanan dan hampir membawa pulang tiga mata, namun kealpaan pemain pada minit-minit terakhir menjadi punca pasukan Bojan Hodak kempunan meraih mata penuh.

Lebih malang, mereka terus dirundung kemarau kemenangan dalam empat aksi terakhir.

Tentunya keputusan seri berterusan ini bukan keputusan yang dimahukan menjelang pertemuan dengan JDT pada Final Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Sabtu depan.

Terdahulu, aksi hambar diperagakan kedua-dua pasukan di awal permainan apabila hampir tiada percubaan berbahaya mengancam berjaya dibuat sepanjang 20 minit pertama.

Negeri Sembilan melepaskan peluang membuka jaringan namun tiada pemain mereka dapat menampan hantaran lintang Mahali Jasuli yang sekadar melintasi pintu gol KL City pada minit ke-22.

Bagaimanapun kebuntuan gol berakhir dengan tandukan Romel Morales yang menyudahkan hantaran lintang Zhafri Yahya, menewaskan Sikh Izhan pada minit ke-39.

The City Boys berpeluang menambah jaringan namun penyudah lemah T Saravanan, mudah ditangkap Sikh Izhan di penghujung babak pertama menyaksikan KL City ke bilik persalinan berbekalkan kelebihan satu gol.

Bersambung babak kedua, Negeri Sembilan beroleh peluang mendapatkan gol penyamaan apabila dianugerahkan sepakan percuma pada sudut yang baik pada minit ke-55, tapi sayangnya tendangan Tommy Mawat Bada gagal membuahkan hasil.

Selepas itu, Hobin Jang Hobin mensia-siakan beberapa peluang, sebelum Zainal Abidin Jamil meledakkan gol ketika perlawanan memasuki masa kecederaan.

Jaringan itu membolehkan Negeri Sembilan mencuri satu mata daripada KL City.