PENJAGA gol skuad B-23 tahun kebangsaan, Azim Al-Amin menganggap masih banyak perkara yang perlu diperbaiki pasukan muda ini jika benar-benar mahu memberikan cabaran di Kejohanan Piala Asia AFC B-23 di Doha, Qatar tahun hadapan.
Dia juga mengakui para pemain terpaksa menunggu sehingga saat terakhir sebelum sedar mereka berjaya layak ke pusingan akhir selepas muncul antara empat pasukan tempat kedua terbaik meskipun sebelum itu tewas kepada Thailand 1-0 dalam perlawanan terakhir Kumpulan H.
“Perjalanan kali ini cukup berdebar kerana terpaksa menunggu hingga saat akhir. Semua pemain menunggu hingga habis perlawanan dan selepas Australia seri dengan Tajikistan kami ingat kami tidak layak.
“Tetapi jurulatih bagitahu dalam ‘group‘ yang kita layak sebab kurang kad kuning berbanding Iran dan reaksi kami ketika itu semua pemain berlari keluar dari bilik dan macam-macam perkara berlaku di hotel penginapan kami.
“Dari segi persembahan banyak lagi perkara yang kami perlu perbaiki kerana di Piala Asia nanti kita akan berjumpa pasukan yang lebih kuat dan kami mempunyai masa lebih kurang enam bulan untuk kita perbaiki,” katanya ketika ditemui selepas tiba dari Bangkok di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Penjaga gol Kuala Lumpur City FC itu juga turut memuji tindakan ketua jurulatih, E. Elavarasan yang memberikan ketiga-tiga penjaga gol peluang beraksi kerana baginya mereka sememangnya bersedia untuk diturunkan sekiranya diberikan peluang.
“Ketiga-tiga penjaga gol diberi peluang bermain oleh jurulatih dan pada saya ini adalah adil kerana semua penjaga gol dalam pasukan ini boleh bermain untuk Malaysia,” jelasnya.
Malaysia kini akan menunggu undian peringkat kumpulan bagi menentukan siapakah lawan mereka di Qatar nanti dan sekarang mempunyai masa kurang enam bulan untuk melakukan persiapan dan membentuk skuad yang lebih mantap.