MAX Verstappen menjangkakan petang yang sibuk di Litar Albert Park ketika dia dan Red Bull cuba untuk membaca keadaan litar dan tayar dengan lebih baik selepas sesi latihan Grand Prix Australia yang terganggu.

Verstappen mencatat masa terpantas pada FP1 yang dua kali dihentikan akibat bendera merah dengan masa 1 minit 18.790saat dengan menggunakan tayar lembut tetapi kemudian terkeluar dari litar dan berpusing sebelum sesi latihan kedua yang berlangsung dalam keadaan litar yang basah.

“Sejujurnya, ianya bukan berkaitan kereta tetapi ianya lebih kepada cengkaman yang rendah di luar sana. Permukaan litar kelihatan sangat licin seperti tahun lalu dan sukar untuk menukar kepada tayar yang lebih sesuai.

“Apabila anda mahu keluar dan terus memecut ianya sungguh sukar serta gangguan dari bendera merah semua itu menyebabkan anda tidak sukar untuk mendapat rentak yang sebenar.

“Kita akan melihat kepada data malam ini dan lihat apa yang kita boleh lakukan untuk esok. Lakukan pilihan yang tepat dan saya rasakan kereta cukup kompetitif hujung minggu ini,” katanya selepas tamat sesi latihan.

Sementara itu rakan sepasukan Verstappen, Sergio Perez pula menganggap kedua-dua sesi latihan itu sebagai hari menguji mental kerana pelbagai insiden di litar termasuk hujan pada sebelah petang.

“Ianya sangat kelam kabut. Saya tidak mendapat satu pusingan bersih pada sebelah petang. Kami melakukan beberapa perubahan yang kelihatan menjadi di Sektor 1 dan Sektor 2 tetapi tidak banyak yang boleh diperkatakan.

“Saya rasakan esok juga tidak banyak perkara boleh dilakukan pada FP3 dan kami mungkin berlumba dalam keadaan sedikit kabur yang mana pastinya akan menjadikannya lebih menarik,” kata Perez yang menamatkan sesi latihan pertama di tempat ketiga dan ketujuk pada sesi kedua.

Red Bull Racing hadir ke Grand Prix Australia dengan dua kemenangan dari dua perlumbaan dan pastinya mahu meneruskan momentum itu pada perlumbaan di Litar Albert Park pada Ahad.