MASIH ada jurang ketara antara pemain negara dengan pesaing besar dari seluruh dunia.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengakui, keputusan di Terbuka Malaysia yang melabuhkan tirainya semalam, menampakkan kelompongan antara prestasi pemain utama negara dengan pemain utama dunia lain.

Manakan tidak, episod sama berulang lagi selepas buat tahun kedua berturut-turut, tiada seorang pun wakil negara mara ke separuh akhir mahupun final kejohanan bertaraf Super 1,000 itu.

Pada tahun lalu pencapaian terbaik dihasilkan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang terkandas di suku akhir.

Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yakin kepakaran sains sukan yang ada pada Institut Sukan Negara (ISN) mampu bantu pemain badminton mengatasi kekurangan berbanding pemain ternama dunia yang lain.

Norza berkata, satu perbincangan sudah dilakukan bersama Pengerusi Road To Gold (RTG) iaitu Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh dan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky untuk mencari jalan terbaik merapatkan jurang berkenaan.

Justeru Norza yakin, bantuan daripada RTG serta apa yang BAM berikan, kita mampu mencapai kejayaan lebih baik lagi selepas ini.

Gandingan profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi menyamai pencapaian tahun lalu di Terbuka Malaysia, apabila sekali lagi mara ke suku akhir.

“Kita dah nampak apa yang perlu dibuat untuk rapatkan jurang itu antaranya pendekatan sains sukan dan analisa yang terperinci.

“Pemain harus fokus dan buat persediaan lebih rapi. Yang penting kita mahu pemain sampai ke kemuncak ketika Olimpik Paris. Kita tak mahu mereka berjaya sekarang tapi gagal kemudian,” katanya.

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berpuas hati dengan prestasi Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang terkandas di suku akhir Terbuka Malaysia 2024.

Mengakui kecewa atas kegagalan di Terbuka Malaysia, Norza tetap menilai pencapaian secara keseluruhan, apabila beberapa kuasa besar Asia juga tidak berjaya mara ke separuh akhir dan final.

“Melihat secara lebih terperinci, saya tak bimbing dengan Aaron Chia-Soh Wooi Yik. Saya puas hati dengan prestasi mereka.

“Mereka antara lima terbaik dunia dan bila-bila masa saja akan ada pasangan lain yang boleh menewaskan satu sama lain.

“Yang tentukan kejayaan itu adalah tuah, kekuatan mental serta persediaan kita. Kita bagi mereka tempoh untuk sampai kemuncak di Olimpik. Sebab tak guna juara di sini dan selepas juara prestasi mereka menurun,” katanya.

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei gagal ulangi pencapaian 2023, apabila sekadar mara ke pujsingan kedua Terbuka Malaysia 2024.

Pada edisi kali ini menyaksikan Aaron-Wooi Yik tewas kepada beregu Korea Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae 21-16, 18-21, 13-21 dan Yew Sin-Ee Yi tunduk kepada beregu Jepun Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 15-21, 9-21 di suku akhir.

Begitupun Norza mengharapkan sokongan berterusan buat pemain negara.

Ini kerana barisan pemain negara yang lain seperti Pearly Tan-M Thinaah, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei sudah berada di landasan yang tepat dan tahu apa yang perlu mereka lakukan cuma nasib tidak menyebelahi Ng Tze Yong kerana dia mengalami kecederaan belakang.