EPISOD duka terus menyelubungi kem badminton negara setelah wakil harapan negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut mengikuti jejak langkah Pearly-Thinaah apabila mereka turut ditunjuk jalan keluar pada aksi separuh akhir Malaysia Masters 2022.

Aaron mengakui mereka berdepan tekanan yang kuat dari pasangan Indonesia sebelum mencecah mata ke-11 di set penentuan.

“Mungkin dengan game ketiga, sebelum 11 mata, bagi banyak tekananlah. Saya rasa mungkin dekat game ketiga, dia orang bagi banyak ‘pressurelah’,” kata Aaron.

Sementara itu, Wooi Yik pula berpendapat pasangan lawan telah menunjukkan peningkatan yang konsisten dalam beberapa perlawanan  mereka bertemu sambil menyifatkan ianya pengajaran berguna untuk mereka pada masa akan datang.

“Kita akan kaji balik game sebab beberapa kali lawan dia, sebab sebelum ini memang kita menang dan sekarang mereka improve sangat banyak.

“Ini satu pengajaran saya rasa sebab mereka satu top player, saya rasa kita harus belajar dari mereka, study gameplay,” jelas Wooi Yik kepada media.

Selepas ini, gandingan ke-6 dunia itu akan memberi sepenuh tumpuan kepada aksi Sukan Komanwel 2022 di Birmingham.

Bagi mereka, baki dua minggu menjelang Sukan Komanwel 2022 akan digunakan sebaik mungkin untuk memperbanyakkan latihan dan mengenalpasti titik kelemahan mereka setelah kepenatan mengharungi kejohanan ‘back to back’ yang panjang sebelum ini.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia terus kempunan untuk mempunyai wakil yang beraksi di pentas akhir kejohanan tersebut meskipun memiliki kelebihan sebagai tuan rumah selepas Terbuka Malaysia 2022 minggu lalu.