PEMAIN perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia menewaskan rakan senegaranya Ng Tze Yong untuk mara ke pusingan kedua China Masters.
Pemain nombor 11 dunia itu terpaksa mandi peluh sebelum menewaskan Tze Yong 21-15, 20-22, 21-17 dalam perlawanan pusingan pembukaan yang memakan masa 75 minit penuh mendebarkan di Gimnasium Teluk Shenzhen pada Rabu.
Kemenangan itu pastinya melegakan anak kelahiran Kedah itu yang menerima kritikan hebat sejak akhir-akhir ini apabila muncul satu-satunya atlet negara yang menolak untuk menyertai program Road To Gold (RTG) disusuli tersingkir seawal pusingan pertama Masters Jepun, minggu lepas.
LI-NING China Masters 2023
MS – R32
21 20 21 🇲🇾LEE Zii Jia🥇15 22 17 🇲🇾NG Tze Yong
🕚 in 75 minutes
— BWFScore (@BWFScore) November 22, 2023
Sementara itu, pasangan beregu wanita Pearly Tan-M. Thinaah dan gandingan beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan Tan Kian Mei-Lai Pei Jing semuanya tersingkir daripada pertandingan itu.
Pearly-Thinaah yang berada di nombor 12 dunia berhempas pulas tetapi tewas 11-21, 21-15, 20-22 kepada pemain nombor 11 dunia Korea Selatan, Jeong Na-eun-Kim Hye-jeong.
Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie tumbang 17-21, 20-22 kepada Tang Chun Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong, manakala Tan Kian Meng-Lai Pei Jing tumbang 16-21, 21-23 kepada pemain Singapura Terry Hee-Jessica Tan.