HANYA turun ke gelanggang, dan keluarkan semua yang telah dirancang dalam latihan, hanya itu yang diharapkan jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen terhadap gandingan 51 dunia, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri.
Menurutnya, pertama beraksi di kejohanan lebih besar bertaraf Super 500 di Masters Indonesia bermula hari ini, sudah tentu menjadi ujian getir buat gandingan terbabit.
“Ini adalah kejohanan pertama Super 500 mereka yang sebelum ini bermain di Super 300, bagi saya ini adalah ujian pertama untuk mereka sebelum melangkah ke kejohanan lebih besar selepas ini.
“Apa yang saya pesan dan mahukan adalah sebaik tiba giliran beraksi, hanya tunjukkan prestasi yang mereka lakukan dalam latihan,” kata Bin Shen, ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara.
Tambahnya, selepas memenangi Cabaran Antarabangsa Syed Modi dan Masters India, kedua-dua pemain terbabik menunjukkan prestasi yang baik dalam latihan.
Malah beliau enggan mengulas lebih lanjut mengenai kemampuan gandingan itu dan mahu menjadikan pencapaian mereka di Indonesia, sebagai penanda aras baharu.
“Biar mereka main dahulu, di sana saya pasti kita boleh nampak kemampuan mereka.”
Mengikut undian awal, Hon Jian-Haikal perlu melalui pusingan kelayakan, namun selepas pilihan utama yang juga pemain ranking kedua dunia, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty menarik diri dari kejohanan, Hon Jian-Haikal mendapat peluang terus beraksi di pusingan pertama.
Lebih menarik, Hon Jian-Haikal diletakkan sebagai pengganti tempat Satwiksairaj-Chirag dan akan membuka saingan di pusingan pertama menentang pemain yang layak menerusi pusingan kelayakan.
Jika melepasi pusingan pertama, mereka akan berdepan sama ada gandingan Taiwan, Chang Ko Chi-Po Li Wei (37 dunia) atau pasangan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard (38) di pusingan kedua, dan peluang ke suku akhir tetap ada kerana mereka belum pernah bertemu di pentas antarabangsa.