PEMAIN perseorangan negara, Ng Tze Yong mara ke pusingan kedua kejohanan badminton Masters Jepun di Kumamoto pada Rabu.

Tze Yong menewaskan Wang Tzu-wei dari Taiwan 21-12, 21-11 dan akan menentang pilihan utama Viktor Axelsen dari Denmark esok.

Namun, kecemerlangan Tze Yong gagal diikuti oleh pemain badminton profesional Lee Zii Jia, yang mengumumkan penarikan diri daripada Road to Gold pada Selasa, tunduk 18-21, 20-22 kepada Anders Antonsen.

Juara Terbuka Artik 2023 itu terpaksa akur dengan keunggulan pemain perseorangan dari Denmark seawal pusingan pertama dalam masa 54 minit.

Nasib berbeza berlaku dalam acara beregu lelaki apabila Aaron Chia-Soh Wooi melepasi pusingan pembukaan mereka selepas menewaskan juara Olimpik dari Taiwan Lee Yang-Wang Chi-lin 21-18, 21-14.

Namun, cabaran Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani tersekat di tangan pemain Indonesia, Rahmat Hidayat-Kevin Sanjaya, 19-21, 14-21.

Sementara itu, Malaysia meneruskan perjuangan dalam beregu campuran apabila Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie berjaya mara ke pusingan kedua.