SUDAH memberikan aksi terbaik namun masih belum mampu melangkah ke separuh akhir kejohanan badminton Masters Korea.

Begitulah perkongsian daripada Leong Jun Hao, apabila hasrat merangkul kejuaraan kedua berturut-turut tidak kesampaian, apabila ditunjuk jalan keluar oleh pemain China.

Tersingkirnya Jun Hao bermakna tiada lagi cabaran pemain perseorangan lelaki negara di Korea, apabila Soong Joo Ven turut tersingkir.

Soong Joo Ven tidak mampu menyaingi Kento Momota.

“Saya mempamerkan aksi terbaik hari ini tapi gagal mengatasinya yang lebih kepada corak permainan selamat,” kata Jun Hao, ketika dihubungi.

Pada aksi suku akhir, Jun Hao tewas kepada pemain China, Lei Lan Xi dalam pertarungan straight set, 15-21, 20-22.

Leong Jun Hao mahu menampilkan aksi lebih baik di Jepun dan India selepas ini.

Menurutnya, masih ada dua lagi kejohanan untuk dia sertai dan berharap menamatkan aksi di kedudukan lebih baik pada Kumamoto Masters Jepun (14-19 November) dan Kejohanan Antarabangsa Syed Modi, di India (28 November – 3 Disember).

Turut gagal meneruskan kemaraan, Joo Ven yang gagal menyaingi bekas juara dunia dari Jepun, Kento Momota, 16-21, 11-21.

Nasib malang terus menyelubungi skuad negara, apabila gandingan beregu lelaki, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, ditunjuk jalan pulang oleh pilihan utama yang juga juara dunia baharu, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dari Korea Selatan, 18-21, 10-21.

Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani kandas di suku akhir Masters Korea.

Turut tersingkir, beregu campuran profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, apabila tewas kepada Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 19-21, 9-21.

Bagaimanapun Malaysia mempunyai dua lagi wakil dalam beregu campuran, apabila Goh Soon Huat-Shevon Lai melangkah ke separuh akhir dengan bergaya, menewaskan pilihan ketiga dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun 16-21, 22-20, 22-20.

Chen Tang Jie-Toh ee Wei begitu fokus dalam permainan, ke separuh akhir Masters Korea 2023.

Goh Soon Huat-Shevon Lai, meningkatkan prestasi, mara ke separuh akhir Masters Korea 2023.

Justeru, mereka bakal berdepan pilihan kedua China, Zhen Bang-Ya Xin di separuh akhir esok.

Sementara itu, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menempah pertemuan separuh akhir dengan pilihan utama kejohanan dari Korea Selatan, Seo Sung Jae-Chae Yu Jung.

Mereka mempamerkan aksi yang baik di suku akhir, apabila menewaskan gandingan Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Lin Xiao Min 21-19, 21-17.