KEKUATAN mental yang ditunjukkan gandingan profesional negara, Goh Soon Huat dan Shevon Lai ketika melepasi saingan suku akhir Masters Malaysia 2024, cukup untuk menggambar betapa mereka akan memberi cabaran getir kepada satu lagi gandingan negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei pada aksi separuh akhir esok.

Kedua-dua beregu campuran negara itu mengharungi cabaran berbeza di suku akhir hari ini, namun kedua-duanya mempamerkan persembahan cemerlang untuk dibawa ke peringkat seterusnya.

Soon Huat berdepan kecederaan pergelangan tangan dan pinggul kanan yang dialami pada pusingan kedua, menunjukkan daya tahan tinggi ketika memimpin isterinya ke separuh akhir.

Goh Soon Huat mengalami kecederaan pergelangan tangan dan pinggul kanan pada pusingan kedua, semalam.

Menentang pilihan ketujuh dari Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati yang menghuni tangga ke-21 dunia, pasangan suami isteri itu tunduk pada set pertama 12-21.

Namun, pasangan negara yang berada di ranking ke-18 dunia itu bangkit pada dua set berikutnya dengan kemenangan 21-17, 21-17 untuk menempah pertemuan menentang gandingan dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tang Jie-Ee Wei di separuh akhir.

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengatasi Tan Kian Meng-Lai Pei Jing di suku akhir, untuk menempah pertemuan dengan Goh Soon Huat-Lai Pei Jing di separuh akhir.

“Perlawanan hari ini, saya gembira kerana kami tidak berputus asa walaupun Soon Huat ada kecederaan yang dialami pada perlawanan kedua.

“Kita berjaya mengawal pemikiran dan rentak, dia (Soon Huat) pula menahan sakit, apa lagi psikologinya pula goyang kerana takut berlaku kecederaan lebih serius,” kata Shevon.

Berdepan Tang Jie-Ee Wei, gandingan profesional itu mendahului dengan rekod 2-1 termasuk pada pertemuan terakhir di Terbuka Switzerland, Mac lalu.

Kini Chen Tang Jie-Toh Eei melebarkan rekod pertemuan ke atas Tan Kian Meng-Lai Pei Jing kepada 3-0.

“Kita beberapa kali bertemu dan mereka memang sukar. Walaupun kami menang pada pertemuan terakhir, ini adalah perlawanan baharu dan setiap kejohanan persekitarannya berbeza.

“Kami mempunyai kelebihan pengalaman tetapi mereka pasangan muda, lebih pantas dan ada kekuatan,” tambah Shevon.

Dalam pada itu, Tang Jie-Ee Wei ke separuh akhir selepas mengatasi pasangan senior, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Gandingan nombor 9 dunia itu memenangi aksi suku akhir dengan keputusan 21-19, 21-14, sekali gus melebarkan rekod kemenangan kepda 3-0.

Pertembungan dua gandingan campuran negara di separuh akhir itu bermakna, Malaysia sudah mengesahkan slot ke final, sekali gus bakal menamatkan kemarau kejuaraan beregu campuran di Masters Malaysia.

Kali terakhir Malaysia menjuarai beregu campuran pada edisi 2017, ketika kejohanan menggunakan nama GP Emas yang menyaksikan Kian Meng-Pei Jing muncul juara.