BERAKHIR sudah impian besar pasangan pelapis elit negara, Wan Arif Junaidi-Yap Roy King yang mahu menjuarai Masters Malaysia apabila ditunjuk keluar dari kejohanan di peringkat separuh akhir.

Hajat untuk menjadi Giant Killer kejohanan, Arif-Roy King yang menghuni ranking ke-47 dunia, belum mampu menandingi pasangan nombor empat dunia dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.

Pengalaman nyata menjadi pemisah antara kedua-dua pasangan itu yang menyaksikan kebangkitan yang cuba dilakukan di set kedua, selepas kekalahan set pertama tidak berakhir seperti yang diharapkan.

Selepas tewas 15-21 di set pertama, Arif-Roy King cuba bangkit di set kedua dan suatu ketika mendahului dengan kelebihan tiga mata 14-11 tetapi Anders-Skaarup Rasmussen berjaya menyerap tekanan untuk bangkit sehingga mengikat kedudukan 17-17.

Pengalaman pada Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen, menghalang Arif-Roy King daripada terus melakar kejutan.

Aksi penuh dramatik berlangsung berbaki empat mata terakhir tetapi pengalaman dan reputasi gandingan Denmark memberi kelebihan kepada mereka berdepan situasi mata penting sekali gus menang 21-19 untuk melangkah ke final.

“Memang kami tidak berpuas hati sebab kami masuk perlawanan hari ini untuk menang apatah lagi kami ada peluang besar bagi memenangi set kedua. Namun, kesilapan diri sendiri menjadi punca kami kalah.

“Kami perlu bangkit semula dan fokus terhadap apa kelemahan yang kami perlu perbaiki,” kata Roy King selepas tamat perlawanan.

Sementara itu, Arif percaya jurang antara dengan kelompok 10 pasangan utama dunia sudah tidak jauh dan mampu memberi cabaran sengit kepada mereka.

Tidak mudah tetapi pasangan muda negara ini yakin, mereka ada potensi menyaingi gandingan di ranking lebih tinggi.

Dalam laluan ke separuh akhir Masters Malaysia, Arif-Roy King berjaya menyingkirkan pilihan keempat dari Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan di pusingan kedua dan gandingan ranking ke-18 dunia dari Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard di aksi suku akhir.

Walaupun tewas tetapi ini adalah pencapaian terbesar Wan Arif-Roy King apabila yang kali pertama melangkah ke separuh akhir sejak digandingkan pada Julai tahun lalu selepas terkandas di suku akhir Terbuka Thailand, minggu lalu yang juga bertaraf Super 500.

Arif-Roy King sebelum ini muncul naib juara Masters Sepanyol yang bertaraf Super 300 pada Mac lalu.