BEREGU wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M.Thinaah melangkah ke separuh akhir Masters Malaysia, sekali gus menghampiri pencapaian tahun lalu ketika muncul naib juara.

Kemaraan Pearly-Thinaah ke separuh akhir itu bagaimanapun gagal disusuli dua beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, yang terkandas di peringkat lapan terbaik.

Pasangan nombor 13 dunia, Pearly-Thinaah yang juga pilihan kedua menewaskan Setyana Mapasa-Angela Yu dari Australia 21-16, 21-8 dalam perlawanan yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Pearly ketika ditemui berkata, berdepan dengan Setyana dan Angela tidak mudah kerana pasangan Australia itu telah banyak mengejutkan beregu handalan dunia sebelum ini.

“Jadi, kami memang sudah bersedia untuk berdepan dengan mereka, saya gembira dapat menang hari ini, saya harap kami akan kekal konsisten dan dapat kekalkan momentum untuk perlawanan separuh akhir nanti,” katanya.

Kegembiraan Pearly-Thinaah itu, gagal dikongsi pasangan keempat dunia, Aaron Wooi Yik yang dikejutkan pasangan ke-34 dunia, Jin Yong-Na Sung Seung dari Korea Selatan 21-11, 19-21, 19-21.

Gandingan ke-14 dunia, Sze Fei-Nur Izzuddin turut ditimpa nasib serupa dengan Aaron-Wooi Yik apabila gagal menandingi kehebatan pasangan nombor lima dunia, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark 19-21, 17-21 dalam masa 48 minit.