PEMAIN perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia menyifatkan hanya pemain yang tega bersabar, akan layak ke separuh akhir Masters Malaysia 2024.

Menurutnya, menjelang aksi suku akhir menentang Anders Antonsen  esok, dia perlu melupakan soal persahabatan antara mereka berdua buat seketika.

Pemain ranking ke-10 dunia itu berkata, dia menjangkakan perlawanan itu sukar untuk dirinya apatah lagi Antonsen yang mempunyai reputasi tinggi dengan kedudukan keempat dunia selain berjaya muncul juara Terbuka Malaysia, Januari lalu.

“Kami adalah pemain yang profesional, walaupun kami bertarung di gelanggang tetapi selepas perlawanan kami tetap kawan. Saya tidak fikir ia akan memberi kesan dalam perlawanan esok.

“Saya boleh katakan yang ia akan menjadi perlawanan yang sukar esok apatah lagi Antonsen muncul juara Terbuka Malaysia. Bukan mudah untuk mengatasi pemain seperti Antonsen, saya perlu tampil dengan prestasi terbaik.

“Saya percaya kunci kepada kemenangan esok adalah mengenai kesabaran ,” kata Zii Jia ketika ditemui selepas aksi pusingan kedua, hari ini.

Zii Jia yang muncul juara Terbuka Thailand, Ahad lalu mengesahkan tiket ke suku akhir selepas mengetepikan cabaran pemain India, Kiran George 21-13, 21-18 pada aksi pusingan kedua di Axiata Arena.

Antonsen pula yang diletakkan sebagai pilihan kedua kejohana mara selepas mengatasi rakan senegara, Magnus Johannesen 21-12, 21-10.

Menurut Zii Jia, dia gembira apabila berjaya melangkah ke suku akhir pertamanya di laman sendiri selepas sejak kali terakhir ketika mara ke separuh akhir Masters Malaysia 2020.

Pada saingan Masters Malaysia tahun lalu, Zii Jia tersingkir di pusingan kedua.

“Dalam empat tahun terakhir, ini adalah kali pertama saya mara ke suku akhir. Jadi, saya fikir ini adalah satu pencapaian yang positif untuk saya,” katanya.