SAINGAN Perodua Malaysia Masters yang membuka tirainya hari ini (21 Mei) menjadi platform terbaik buat perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menguji kemampuannya sebagai persiapan ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Kehadiran beberapa pemain utama dunia, seperti Viktor Axelsen dan Anders Antonsen (no.4) dari Denmark selain Li Shi Feng dari China (no.6) yang turut akan berada di Paris nanti, membolehkan Zii Jia mengukur sejauh mana prestasinya sehingga kini.
Zii Jia dijangka membuat perhitungan dengan Antonsen yang juga pilihan kedua kejohanan di poeringkat suku akhir andai kedua-duanya melepasi dua pusingan awal. Bekas juara Asia itu memberitahu, yang dia sudah bersedia dan bermotivasi tinggi untuk memulakan cabaran di Masters Malaysia.
“Ketika ini, saya dalam keadaan yang baik dan bersemangat. Saya tidak mahu fikir terlalu banyak mengenai undian atau apa, sebaliknya fokus satu demi satu perlawanan,” katanya.
Pencapaian terbaik Zii Jia pada Perodua Malaysia Masters, adalah pada edisi 2020 yang menyaksikan dia mara ke separuh akhir. Pada edisi tahun lalu, dia tersingkir di pusingan kedua selepas tewas di tangan pemain Taiwan, Lin Chun Yi.
Sementara itu, Zii Jia beroleh suntikan semangat menghadapi saingan Perodua Malaysia Masters 2024, selepas baru kembali dari Bangkok, menjuarai Terbuka Thailand, Ahad lalu. .