SATU slot ke separuh akhir acara beregu campuran Masters Malaysia, sudah sah milik pemain negara apabila Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dijadual bertemu Tan Kian Meng-Lai Pei Jing di suku akhir, esok.

Terdahulu, Tang Jie-Ee Wei yang diletakkan selaku pilihan pertama, mengesahkan kemaraan ke kelompok lapan terbaik selepas mengatasi gandingan India, B Sumeeth Reddy-Sikki Reddy 21-9, 21-15 pada aksi pusingan kedua di Axiata Arena, hari ini.

Kian Meng-Pei Jing yang bergerak secara profesional pula mara selepas bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mengatasi gandingan Korea Selatan, Wang Chan-Shin Seung Chan 15-21, 21-19, 21-19.

Bagi Tang Jie-Ee Wei, pertemuan dengan Kian Meng-Pei Jing yang juga juara edisi 2017 akan berlangsung sengit.

“Sejak pusingan pertama lagi, kami sudah berdepan ujian yang besar, bukan hanya suku akhir. Kami menjangkakan ia akan bertambah sukar di suku akhir apatah lagi berdepan rakan senegara yang berpengalaman.

“Jadi, kami perlu kekal fokus dan buat persiapan terbaik menghadapi aksi suku akhir,” kata Ee Wei.

Sementara itu, satu lagi beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie turut melangkah ke suku akhir selepas menundukkan gandingan Taiwan, Yang Po Hsuan-Hu Ling Fang dalam pertarungan tiga set 17-21, 21-19, 21-13.

Pasangan suami isteri itu yang diletakkan sebagai pilihan keempat akan bertemu wakil Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati bagi perebutan tiket ke separuh akhir.

Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi satu lagi beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Yu Sin yang tersingkir di pusingan kedua selepas tunduk di tangan pilihan kedua dari Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje 10-21, 15-21.