INI karier dan sumber kewangan kami!

Begitulah respon Shevon Lai, sejurus selepas muncul juara Masters Malaysia buat kali pertama.

Pasangan beregu campuran negara itu, memenangi perlawanan akhir di Axiata Arena, dengan menewaskan pilihan ketiga dari Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari 21-18, 21-19.

Kemenangan yang dirindukan pasangan suami isteri itu cukup bermakna selepas terlalu lama menunggu untuk beraksi di perlawanan akhir di laman sendiri, selepas kali terakhir menjuarai Kejohanan Cabaran Antarabangsa Malaysia 2016.

Goh Soon Huat-Shevon Lai berjaya meneruskan kelebihan rekod kemenangan ke atas Rinov Rivaldi-Pitha Haningtyas Mentari kepada 6-1.

“Menjuarai Terbuka Switzerland Mac lalu adalah momen paling manis kerana sebelum itu kami dua kali ke final tapi tak menang kali ketiga baru menang.

“Perasaan menang di Masters Malaysia berbeza… memang melihat penyokong berteriak menyokong kami, ditambah kehadiran ibu bapa saya ke Axiata Arena, perasaannya sangat bermakna kerana berlaku di negara sendiri,” kata Shevon, yang mengakui mereka berdua enggan berputus asa selepas berakhirnya peluang ke Olimpik Paris yang sudah berakhir.

Dalam pada itu, Soon Huat berkongsi perkara yang terbuku di hatinya, bahawa dia amat inginkan kejuaraan di Terbuka Malaysia.

“Sebenarnya impian saya adalah Terbuka Malaysia kerana setiap kali kejohanan, hanya melihat pemain negara lain muncul juara, menaiki podium, jadi kami melakukannya di Masters Malaysia, juga sudah cukup mengubati,” ujar Soon Huat.

Malaysia Masters menjadi gelaran kedua Goh Soon Huat-Shevon Lai sepanjang tahun ini.

Pasangan itu mengakui, mereka berdua terlalu komited sehingga setiap kali tewas, masing-masing membawa haluan sendiri termasuk ketika kalah di pusingan pertama Terbuka Thailand minggu lalu.

“Selepas kalah di Thailand, kami berdua balik bilik… langsung tidak bercakap sesama sendiri hingga pagi esok.

“Tapi kami berdua sudah berkahwin dan perlu tahu apa yang perlu di lakukan dan kami putuskan untuk kembali berlatih dan berusaha gigih untuk kejohanan seterusnya,” ujar Soon Huat.

Selepas ini, gandingan profesional itu akan berlepas ke Singapura, bagi menghadapi saingan Super 750, Terbuka Singapura.