GANDINGAN beregu lelaki utama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu menempatkan diri di kelompok 10 terbaik dunia tahun ini, bagi meyakinkan bahawa mereka mampu menyumbang pingat buat negara di temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Bekas pemain kebangsaan Lim Khim Wah, yang kini bergelar profesional berkata, senario badminton antarabangsa sekarang berbeza berbanding zamannya dahulu, namun pemain negara yang bernaung di bawah BAM tidak jauh ketinggalan.

Ujarnya, jika memasuki kelompok 10 terbaik dunia, lebih memudahkan buat gandingan negara menghadapi saingan tahun hadapan kerana sudah selepas untuk ke Olimpik.

Bekas beregu lelaki BAM, Lim Khim Wah yakin prestasi pemain seperti Man Wei Chong-Tee Kai Wun serta Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dapat lonjakkan ranking mereka ke kelompok 10 terbaik dunia.

Katanya, keyakinan diri dalam setiap pemain ketika beraksi amat penting sebagai petanda bahawa mereka sudah cukup bersedia serta percaya dengan latihan yang dijalani.

Menurutnya, bezanya sikap dan tahap prestasi yang dipamer dalam satu-satu perlawanan menjadi pemisah antara pemenang dan juga pasangan yang tewas.

“Sekarang dalam beregu lelaki, mana-mana pasangan boleh memenangi perlawanan dan kejuaraan, yang memisahkan dua lawan hanyalah prestasi yang ditampilkan pada hari berkenaan,” kata Khim Wah.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik masih s andaran terbaik negara ke Olimpik Paris 2024.

Khim Wah menyertai BAM sejak berusia 17 tahun pada 2006, pernah bergandingan dengan Koo Kien Keat, Chan Peng Soon serta gandingan terbaiknya Goh V Shem.

Ujarnya lagi, senario yang berlaku di Akademi Badminton Malaysia (ABM) ketika ini menampakkan petanda positif.

“Aaron Chia-Soh Wooi Yik, tentunya paling stabil sekarang kerana mereka tidak tewas kepada lawan yang bukan-bukan (tiada nama) selain konsisten beraksi di suku dan separuh akhir.

“Man Wei Chong-Tee Kai Wun juga saya lihat cukup berkeyakinan, sangat bagus dan sudah layak beraksi ke peringkat lebih tinggi.

Goh Sze Fei dan Izzuddi kembali bergandingan, meningkatkan lagi persaingan di ABM dan juga badminton dunia.

“Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani juga sudah kembali bersama, saya harap mereka berjaya masuk ke kelompok Top 10 hujung tahun ini,” kata Khim Wah.

Ketika ini, Aaron-Wooi Yik berada di ranking keempat dunia, diikuti gandingan profesional Ong Yew Sing-Teo Ee Yi (6), Wei Chong-Kai Wun (23) manakala Sze Fei-Nur Izzuddin yang sudah empat bulan tidak bergandingan, masih berada di ranking ke-53 dunia.

Bermula bulan ini, kalendar Persekutuan Badminton Dunia (BWF) amat sibuk dengan terlalu banyak kejohanan dan hanya perancangan pemilihan kejohanan yang tepat, mampu membantu pasangan beregu menaikkan ranking mereka.