SITI Nurul Masyitah Md Elias yang terlibat dalam kemalangan tragis pada Selasa kini sedang dirawat dalam unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Columbia Iskandar Puteri, Johor.

Menurut abang kandungnya, Muhamad Syafiq, menjelaskan secara eksklusif kepada FLASH SUKAN, pembedahan pertama kepada Masyitah berjalan lancar pada malam Selasa, dan adiknya terpaksa ditidurkan sehingga ke pagi ini untuk mendapatkan rehat secukupnya.

Pembedahan pertama yang dibuat itu meliputi beberapa bahagian badan yang patah termasuk tulang pinggul (pelvis) kiri dan kanan serta tulang bahu kanan. Kecederaan di bahu kiri belakang Masyitah dan di pipi juga agak teruk dan doktor menyarankan agar Masyitah menjalani proses pembedahan plastik (plastic surgery).

Kawasan kejadian kemalangan Masyitah semalam.

“Selain bahagian itu, bibir Masyitah turut koyak. Dua-dua tumit menjadi licin dan rata akibat diseret sejauh lebih 600 meter.

“Masyitah adik perempuan yang rajin membantu ibu bapa, apatah lagi ibu baru sahaja terlibat kemalangan tiga minggu lalu. Ayah pula tidak sihat kerana menjalani dialisis.

“Sudah tentu ibu sangat sedih melihat keadaan Masyitah, dan ibu hampir pengsan selepas melawat anaknya itu kerana perasaan bercampur baur.

Masyitah seorang atlet kayak negara.

“Saya juga tidak sangka kemalangan yang menimpa Masyitah ini kerana itu merupakan laluan ulang alik yang biasa digunakan Masyitah. Tetapi perkara sudah terjadi, saya redha dan mahukan keadilan buat adik saya,” ujar abang Masyitah.

Masyitah,22, yang merupakan anak kelima daripada lapan adik beradik, dipercayai akan berada di wad ICU dalam tempoh masa yang lama, dan pembedahan plastik yang dijangka perlu dibuat ke atas Masyitah akan dimaklumkan semula oleh pihak doktor dalam masa terdekat ini.

Masyitah terlibat dalam kemalangan dipercayai dilanggar pemandu mabuk di Lebuh Raya Penyuraian Timur (EDL) menuju ke Southkey, pada Selasa.

Artikel Berkaitan: Atlet kayak negara Masyitah diseret sejauh 600 meter