KENANGAN menjulang Piala AFF 2010 bersama Safee Salee akan sentiasa berada dalam ingatan penyerang negara, Norshahrul Idlan Talaha dan tidak dapat dilupakan biarpun rakan serangan dalam skuad kebangsaan itu sudah menggantung but.
Satu jaringan pada aksi final menentang Indonesia itu, Norshahrul menggelecek bola di tepi garisan padang, sebelum mengumpannya kepada Safee yang kemudian berjaya menjaringkan gol dalam aksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Norshahrul dan Safee adalah antara gandingan penyerang yang serasi ketika Malaysia menjuarai Piala AFF 2010, yang menyaksikan Safee dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Kasut Emas selaku penjaring terbanyak dengan lima gol.
“Saya rasa semua penyokong tahu dan ingat mengenai momen itu. Setiap kali penyokong berjumpa saya atau Safee, mereka pasti akan ingat gol tersebut dan boleh dikatakan ia menjadi satu sejarah yang akan terus diingati,” katanya ketika diminta mengulas persaraan Safee.
Norshahrul yang lebih dikenali sebagai Matyo juga mengakui bahawa dia terkejut dengan keputusan Safee yang mengumumkan persaraan namun, menghormati keputusan penyerang legenda negara itu dan mendoakan yang terbaik buatnya.
“Saya agak terkejut dengan persaraan Safee Sali kerana saya juga baru mengetahuinya. Tetapi. saya hormati keputusannya, mungkin dia mempunyai perancangan selepas ini. Saya doakan Safee dapat meneruskan kerjaya atau apa yang diimpikannya selepas ini,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN : Safee tak kesal gantung but kerana ‘sedar diri’ dah tak mampu
Selepas hampir 20 tahun dalam dunia bola sepak, Safee, 39, meledak lebih 136 gol bersama kelab dan mengumpul 47 jaringan buat pasukan kebangsaan, mengumumkan persaran di peringkat profesional semalam.
Sepanjang kariernya Safee telah merangkul pelbagai kejayaan di peringkat domestik dan muncul antara penyerang prolifik pasukan kebangsaan selain pernah beraksi di Liga Indonesia dan berlatih bersama Cardiff City.