CORAK permainan agresif dan bersemangat diterapkan Kim Pan-gon  bakal memerangkap Thailand menjelang aksi separuh akhir pertama Piala Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Keyakinan ini disuarakan bekas pemain kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha berdasarkan tempoh masa latihannya bersama skuad kebangsaan sebelum ini.

“Saya pernah menjalani latihan kem kebangsaan dibawah pimpinan Pan-gon (Jun lalu) , jadi saya lihat aksi agresif diterapkan bermula wisel pertama dibunyikan.

“Taktikal Pan-gon memang bukan style (jenis) yang sabar, dia akan menekan lawan dari bahagian atas sebagaimana yang dilakukan ketika ini,” jelasnya.

Tambahnya lagi, walaupun Gajah Perang memiliki ramai pemain berpengalaman yang beraksi di Liga Jepun namun Liga Thailand juga lebih baik dari liga kita.

“Tidak mustahil kita mampu memenangi perlawanan ini, walaupun rata-rata pemain yang beraksi untuk Malaysia adalah penampilan pertama buat mereka.

“Saya harapa Pan-gon akan memberikan motivasi buat pemain, sememangnya Harimau Malaya perlu mencari bekalan gol yang selesa untuk kita kembali semula di Bangkok nanti,” katanya.

Norshahrul atau lebih mesra disapa Mat Yo merupakan skuad juara Piala AFF 2010 dibawah kendalian Datuk K Rajagobal bersama-sama Safee Sali, Safiq Rahim, Razman Roslan, Khairul Fahmi Che Mat, Amri Yahyah yang memacu Malaysia serta rakan sepasukan yang lain meraih gelaran pertama kejuaraan Piala AFF