MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh meluahkan perasaan lega selepas melihat tindak balas positif yang diberikan pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim ketika melakukan lawatan di hospital pada Rabu.
Hannah yang ditemui media berkata, dia turut menunjukkan ‘heart shape sign’ kepada Faisal dan pemain itu menguntum senyuman sekaligus menggambarkan kekuatan dan semangat positif yang ada pada dirinya.
“Tentu sedih melihat keadaan dia tetapi saya juga yakin Tuhan sayang pada Faisal kerana dia mempunyai peluang untuk pulih. Renungan mata dia sama walaupun dia terlantar di atas katil tetapi matanya menunjukkan dia positif.
“Setiap kali kita senyum dan tunjukkan ‘heart shape sign’, dia mengangguk positif dan saya yakin dia akan pulih.
“Kami lihat Faisal dari jauh yang dipisahkan daripada cermin kaca, saya tunjukkan kepadanya ‘heart shape sign’ sebagai tanda kami semua sayangkannya dan dia balas dengan senyuman,” kongsi Hannah.
Semenatara itu, Hannah juga berpuas hati dengan rawatan yang diberikan oleh pihak hospital dan dia juga akan berhubung dengan isteri Faisal untuk memastikan keadaan diri dan keluarganya berada dalam keadaan yang baik.
“Kami amat gembira dan saya yakin dia akan dapat layanan dan jalani pemulihan terbaik di sini, ISN juga turut berhubung dengan doktor di sini dan kami akan beri sepenuh sokong untuk proses pemulihan dan akan menghubungi isterinya supaya dia juga ok untuk kaunseling dan sebagainya,” jelasnya.
Turut mengiringi Hannah ke hospital adalah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifudin Nasution dan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin serta barisan eksekutif Selangor FC.