TIDAK lupa mengenai skuad kebangsaan Bawah 23 (B-23) tahun yang bakal beraksi di saingan Piala Asia B-23 pada April hadapan, Datuk Seri Shahril Mokhtar selaku Pengurus pasukan B-23 menganggap bahawa match fitness (kecergasan untuk perlawanan) adalah perkara utama yang perlu diberi perhatian.

Seperti yang sedia maklum, masalah match fitness juga terjadi kepada skuad Harimau Malaya kerana kurangnya aksi pemanas badan, lebih-lebih lagi dengan situasi Liga Malaysia yang belum berjalan.

Oleh itu, Shahril menyatakan bahawa risiko daripada masalah tersebut perlu dicegah seawal yang mungkin oleh barisan jurulatih, terutamanya Juan Torres Garrido selaku pengendali pasukan dan juga jurulatih kecergasan mereka.

Match fitness adalah perkara yang kita pandang serius setakat ini. Perkara ini juga sudah diperkatakan lagi sejak beberapa minggu lalu, dan kita perlu segera mencari jalan dengan masa yang ada sekarang.

Shahril menegaskan match fitness adalah sangat utama untuk diberi perhatian oleh jurulatih.

“Harapan saya masih tinggi buat para pemain, kerana saya tahu sejauh mana tahap mereka untuk bermain, jadi saya harap mereka akan sampai ke kemuncak yang diinginkan.

“Latihan seterusnya akan dijalankan pada malam 28 Mac (Khamis), jadi saya rasa mereka akan kembali dengan lebih segar dan cergas selepas berehat beberapa hari ini,” ujarnya ketika ditemui di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Sementara itu, Shahril turut berkongsi bahawa terdapat tiga atau empat pemain dari Johor Darul Ta’zim (JDT) akan mula melapor diri pada sesi latihan skuad B-23, Khamis ini.

Beliau berharap agar kehadiran beberapa pemain itu dapat memperkuatkan lagi pasukan kendalian Juan Torres, dalam usaha untuk mencapai tahap prestasi lebih cemerlang sebelum ke aksi Piala Asia B-23 yang akan berlangsung di Doha, Qatar pada April hadapan.