SABAH FC yang berdepan Johor Darul Ta’zim di Stadium Likas, malam ini mengidamkan tiga mata biarpun sedar saingan getir bakal dihadapi kelab itu.

Legenda bola sepak Sabah, Matlan Marjan tidak menafikan peluang skuad itu meraih kemenangan tetap ada, namun semuanya bergantung pada percaturan jurulatih dan strategi dalam padang.

“Sabah mungkin mempunyai peluang malam ini. Beraksi di tempat sendiri harus dimanfaatkan oleh pasukan Sabah FC.

“Kemenangan membuka ruang untuk bersaing juara Liga Super tapi jika kalah peluang kita agak tipis,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.

Keratan akhbar lama semasa zaman kegemilangan Matlan bersama pasukan kebangsaan.

Matlan yang membantu Sabah menjulang trofi Piala FA 1995 kini bergelar sebagai ketua pemantau bakat (scouting ) dan juga merupakan penolong pengurus Sabah FC B-21 dalam mengetengahkan pemain muda untuk beraksi di peringkat negeri.

Anak jati Kampung Timbang Dayang, Kota Belud merupakan salah seorang pemain bola sepak yang disegani dalam tahun 90-an.

Matlan bukan sahaja dikagumi di negeri Sabah, malah merupakan salah seorang pemain Malaysia yang berpengalaman dan memiliki kemahiran yang cukup tinggi.