PEMAIN kelab Go Ahead Eagles, Mats Deijl tidak melepasi syarat kelayakan untuk mewakili skuad Harimau Malaya.
Perkara itu telah disahkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan sebentar tadi.
Menurut FAM, berdasarkan dokumentasi-dokumentasi yang telah dilampirkan oleh pemain itu, didapati bahawa pemain berusia 27 tahun itu hanya mempunyai darah keturunan Malaysia melalui moyang beliau dan bukannya melalui datuk atau nenek sepertimana yang ditetapkan dalam syarat FIFA.
“Berdasarkan semakan, pemain ini mempunyai darah keturunan Malaysia melalui moyang (ibu kepada datuk pemain) yang telah lahir di Singapura pada 24 Jun 1893, yang mana Singapura merupakan sebahagian dari Tanah Melayu ketika itu.
“Dengan merujuk kepada Artikel 8 Peraturan-Peraturan Yang Mengawal Permohonan Statut FIFA berkaitan kelayakan mewakili pasukan kebangsaan, (Regulations Governing The Application Of The Statutes), mana-mana pemain boleh mewakili sesebuah negara jika pemain tersebut memenuhi syarat seperti berikut.
“Pertama, pemain itu lahir di negara tersebut; atau kedua, ibu pemain dan ayah pemain lahir di negara tersebut; atau ketiga, datuk dan nenek pemain lahir di negara tersebut; atau keempat, pemain itu menetap di negara tersebut melebihi tempoh lima tahun,” kata FAM dalam kenyataan yang dikeluarkan.
“FAM pada 23 September 2024 telah menghantar surat kepada FIFA bagi mendapatkan pandangan FIFA mengenai status pemain ini yang ingin mewakili Malaysia melalui darah keturunan moyangnya (ibu kepada datuk pemain).
“FIFA pula melalui surat bertarikh 25 September 2024 telah menghantar maklum balas mengenai perkara ini dan memaklumkan bahawa: “Unfortunately, the player’s ascendants’ nationalities beyond his grandparents (i.e., the player’s great grandparents or ulterior ascendants) do not grant the Player the possibility to be eligible to represent your association’s representative team(s), as the list set forth in art. 8 par. 1 lit. c) of the RGAS is exhaustive.”
“Berdasarkan jawapan FIFA itu, FAM mengesahkan bahawa pemain ini tidak dapat mewakili pasukan kebangsaan Malaysia disebabkan darah keturunan Malaysia adalah daripada moyangnya (ibu kepada datuk pemain) dan bukan di peringkat datuk atau nenek pemain sepertimana syarat ditetapkan oleh FIFA,” tambahnya.
FAM turut berhubung dengan beberapa pemain lain sepertimana yang dicadangkan atau dihebahkan di platform media sosial, namun setakat ini tiada yang positif terutama dari segi dokumen kesahihan pemain tersebut memiliki darah keturunan Malaysia yang melepasi syarat ditetapkan oleh FIFA.