PERSATUAN Bola Tampar Malaysia (Mava) merancang mendapatkan khidmat ketua jurulatih dari luar negara sebagai persiapan ke temasya Sukan SEA Kemboja, tahun hadapan.
Presiden Mava, Hean Boon Yeow berkata, bagaimanapun, komitmen dari pemain amat dituntut sebelum beliau memutuskan pengambilan jurulatih asing itu.
“Ada dana dari FIVB (Federasi Bola Tampar Antarabangsa) tapi perlu ada pemain dan kita perlukan komitmen pemajn. Selain itu kita perlu ada bajet dan saya tak mahu terjadi seperti dahulu apabila bayaran yang dijanjikan tak dapat kita tunaikan,” kata Boon Yeow, ditemui pada Pelancaran Sooka Super Series Volleyball (SSSVB 2022) di Shah Alam, Selangor.
Apabila ditanya mengenai calon jurulatih asing itu, Boon Yeaw berkata, pihaknya mempunyai dua calon masing-masing dari China dan Cuba.
Menurutnya, jurulatih terbabit, dijangka akan dilantik enam bulan sebelum bermula saingan Sukan SEA Kemboja, yang dijangka berlangsung Mei 2023.
Dalam pada itu, Boon Heow gembira apabila satu lagi liga bola tampar dilancarkan selepas Kejohanan Liga Bola Tampar Malaysia 2022 berlangsung Mac lalu.
“Untuk saingan liga ini, saya lantik lima jurulatih untuk memantau dan membuat pemilihan pemain untuk diserap ke kem latihan kebangsaan, sebagai persediaan ke Sukan SEA Kemboja.
“Mungkin kita akan memilih 70 peratus pemain remaja dan 30 peratus pemain senior,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Ketua Kontinjen Sukan SEA Kemboja, Datuk Mohd Nasir Ali berkata, negara memiliki barisan pemain yang baik dari segi fizikal namun agak ketinggalan dari segi kualiti permainan.
“Di peringkat antarabangsa, pasukan bola tampar kita belum dapat dibanggakan, jadi kita amat memerlukan aksi liga dan adanya liga ini, saya harap kita boleh bawa pasukan yang kuat ke Sukan Sea Kemboja, tahun hadapan ” kata Mohd Nasir, selepas merasmikan SSSVB 2022.
Beliau berkata, liga terbabit mampu menjadi medan mencungkil bakat pemain muda untuk diketengahkan, malah kehadiran pemain import seperti dari Amerika Syarikat (AS), Thailand, Sri Lanka dan juga sebuah kelab dari Indonesia, mampu memberi pengalaman baik buat pemain tempatan.
Tambahnya, untuk mengidamkan pingat emas di Sukan SEA Kemboja, mungkin jauh untuk digapai namun jika berjaya melakukannya, ia satu pencapaian besar kerana sejarah penyertaan Malaysia di Sukan SEA adalah memenangi satu pingat perak dan satu gangsa masing-masing dari skuad lelaki dan wanita negara.