MAVERICK Vinales mencipta sejarah menjadi pelumba pertama dalam era MotoGP untuk memenangi perlumbaan dengan tiga pengeluar jentera berbeza dan dia menganggap pencapaian ini bukan sesuatu yang mampu dilakukan semua pelumba.

Vinales memenangi Grand Prix Amerika Syarikat di Litar COTA, Texas dalam perlumbaan dramatik yang menyaksikan dia yang bermula di petak hadapan bangkit dari kedudukan ke-13 selepas dihimpit ketika selekoh pertama pada permulaan perlumbaan.

Pelumba Sepanyol itu kini muncul juara dengan Suzuki, Yahama dan kini bersama Aprilia menamatkan perlumbaan di hadapan Pedro Acosta dan Enea Bastianini untuk kembali mencabar kedudukan pelumba selepas berakhir tiga pusingan musim 2024.

“Sejujurnya saya tidak pernah memikirkan tentang perkara ini tetapi selepas melihat kembali, ianya sangat istimewa kerana tidak banyak pelumba yang mampu lakukan perkara ini. Untuk menang perlumbaan dengan Aprilia adalah umpama mimpi.

“Perasaannya tidak sama ketika anda hadir ke pasukan yang sudah memenangi perlumbaan dan mengetahui mereka mempunyai jentera yang hebat. Saya sangat gembira kerana berjaya buktikan kepada pasukan saya masih mampu raih kemenangan,” katanya.

Vinales melengkapkan minggu gemilang di Grand Prix Amerika Syarikat selepas turut mengungguli perlumbaan ‘sprint‘ yang berlangsung pada Sabtu dengan kemenangan bergaya di hadapan Jorge Martin dan Marc Marquez.

Kedudukan semasa kejuaraan MotoGP

MotoGP akan ke Sepanyol selepas ini dengan Litar Jerez bakal menyaksikan pertarungan epik pelumba-pelumba dengan Maverick Vinales sudah pasti mahu merapatkan kedudukan di senarai pendahulu yang kini diterajui rakan senegara, Jorge Martin.